Monday, May 16, 2016
PRK Sg. Besar, Kuala Kangsar Medan Terbaik Amanah Buktikan Mereka Layak Ganti PAS
KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang,
Sulaiman Razak menyifatkan hasrat Parti Amanah pimpinan Mat Sabu untuk
bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala
Kangsar pada 18 Jun ini sebagai peluang terbaik parti itu untuk
membuktikan bahawa mereka adalah parti terbaik menggantikan Pas dalam
pakatan harapan.
Sambil mengalu-alukan hasrat Parti Amanah itu beliau berkata sebarang
usaha kompromi dengan Pas hanya memperlihatkan pakatan harapan
sebenarnya tidak mempunyai keyakinan dan kekuatan terhadap pakatan baru
yang dibentuk serta diwar-warkan sebagai lebih padu berbanding pakatan
sebelum ini.
“Parti
Amanah adalah parti yang menggantikan Pas di dalam pakatan harapan maka
parti tersebut sememangnya layak untuk meletakkan calon sekaligus bakal
bertembung dengan Pas menentang Barisan Nasional (BN).
“Kita yakin kalau Parti Amanah bertanding, Dap akan menyokong mereka
sepenuhnya. Inilah masanya juga untuk melihat sejauh mana penyokong PKR
dan Dap memberi undi kepada Amanah dan mampukah Pas menentang Amanah
tanpa sokongan PKR dan Dap,” ujarnya kepada media.
Tambah Sulaiman, PRK kali ini sudah pasti akan lebih menarik kerana
ramai yang ingin melihat sejauh mana Amanah mampu menewaskan Pas
termasuk calon BN.
“Ini juga bakal menjadi tali ukuran untuk Amanah menjelang Pilihan
Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Jika Amanah tidak mampu menewaskan Pas maka
sudah pasti ia akan memberi impak kepada parti itu kelak.
“Sudah pasti Dap juga akan hilang keyakinan kepada kuda tunggangan
baru mereka ini. Jadi, inilah medan ‘pertempuran’ sebenar untuk Amanah
membeli jiwa Dap,” katanya lagi.
Baru-baru ini Pengerusi Parti Amanah Selangor, Izham Hashim
mengeluarkan kenyataan bahawa sewajarnya parti itu mewakili Pakatan
Harapan untuk bertanding di dalam PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar
kerana secara prinsipnya parti itu telah menggantikan tempat Pas dalam
Pakatan Harapan.
Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong selepas Ahli Parlimennya
merangkap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk
Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter semasa berkempen untuk
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Tragedi itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk
Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah;
Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr
Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri
Harun.
Pada PRU Ke-13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai
Besar menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399
undi, manakala Wan Mohammad Khairil memenangi kerusi Parlimen Kuala
Kangsar menewaskan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk
Kamilia Ibrahim, Bebas dengan majoriti 1,082 undi.
PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan PRK Parlimen Kuala Kangsar,
Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan
calon pada 5 Jun 2016.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment