Monday, March 28, 2016

Pemuda UMNO Pulau Pinang Kemuka Bukti Baharu Jualan Tanah Taman Manggis

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj0DxvyURQJ533MCuOYu0_sU-AAGIseP2-QYKatwMVsaaT8ban4xJPO6cMpf0B0f7bpO_mmYXu17b-RqLza41cJ5uRMXsimJlvO27l-58jLsWt1D82iI4rL3qlSXSCzp-qGVja_7Cbkebc/s320/pemuda_negeri_pp_400_260.jpg
GEORGE TOWN : Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini mengemukakan bukti terbaru mengenai kelulusan penjualan tanah di Taman Manggis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Ketua Pemuda Kepala Batas Muhammad A’fif Osman yang mewakili Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, berkata pihaknya mengemukakan laporan berhubung dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu.

A’fif, bagaimanapun berkata kandungan dokumen bahan bukti terbaru itu tidak boleh didedahkan pada masa ini agar tidak menjejaskan siasatan SPRM.

“Saya meminta SPRM supaya menyiasat dengan lebih terperinci bagi mengelak daripada berlakunya sebarang penyelewengan dalam proses penjualan tanah itu,” katanya sebelum menyerahkan dokumen itu, di pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa penjualan tanah di Taman Manggis kepada sebuah syarikat swasta, Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) dibuat di bawah harga pasaran.

Isu tanah di Taman Manggis dan pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bermula apabila ia dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, yang meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta itu, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta.

Sementara itu, kira-kira 500 anggota Barisan Nasional (BN) dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman di Taman Manggis, Jalan Burmah di sini, mendesak Lim membina PPRT atau melepaskan jawatan sebagai ketua menteri.

Ketua Pemuda UMNO negeri Rafizal Abdul Rahim berkata PPRT yang dirancang di Taman Manggis sepatutnya diluluskan kerajaan sekarang memandangkan ramai dalam kalangan rakyat Pulau Pinang belum memiliki rumah.

“Kami ingin membela nasib rakyat negeri ini yang memerlukan sebuah tempat kediaman yang lebih selesa walaupun disewa dan bukan milik sendiri,” katanya  kepada pemberita selepas perhimpunan itu.

Semalam, Lim dilaporkan berkata memandangkan tanah di Taman Manggis hanya 0.4 hektar, kerajaan negeri menggantikan tanah seluas 4.45 hektar di Jalan SP Chelliah di sini, untuk pembinaan rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik.

Ketua Pemuda BN negeri H’ng Chee Wei pula meminta Lim menggantikan PPRT itu di Jalan SP Chelliah dan bukannya dengan membina rumah kos rendah atau rumah mampu milik.

“Sekiranya betul projek itu telah digantikan ke Jalan SP Chelliah dengan tanah yang lebih luas, mengapa PPRT tidak disenarai dalam pelan projek di situ?,” katanya.

Antara wakil BN dan NGO yang hadir ialah Naib Pengerusi Gerakan Bahagian  Tanjung H’ng Khoon Leng; Ketua Pemuda PPP negeri P.Thaiyalan; Yang Dipertua Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (GPEM) Mohd Rizuad Mohd Azudin; dan Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia (Gerakan Merah) Mohd Ali Baharom.

Terdahulu, Ali yang turut membuat laporan SPRM berhubung pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn di sini, meminta campur tangan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas untuk meminta Lim mengambil cuti daripada menjalankan tanggungjawab sebagai ketua menteri sehingga selesai siasatan SPRM.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment