Monday, March 28, 2016

Pemimpin UMNO Sokong Deklarasi Mahathir Terkeluar Dari Landasan Perjuangan Parti

http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2015/02/24/22/34/rafizal%20abd%20rahim.ashx?w=620&h=413&crop=1&/
GEORGE TOWN : Tindakan beberapa pemimpin UMNO yang menyokong ‘Deklarasi Mahathir’ amat mendukacitakan kerana jelas menunjukkan mereka sudah terkeluar daripada landasan perjuangan parti.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata pemimpin terbabit dilihat turut terjerat dengan permainan politik parti pembangkang yang mahu melihat kerajaan ditunjangi UMNO tumbang dan rebah.

“Apakah mereka sudah tidak lagi mampu untuk menilai mainan politik atas nama rakyat yang diamalkan parti-parti pembangkang selama ini dan tidak nampak mainan politik pembangkang untuk mengambil alih teraju pimpinan negara?

“Apakah mereka juga sudah menjadikan agenda politik peribadi itu lebih penting daripada agenda untuk agama, bangsa dan negara?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada penglibatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang menyokong deklarasi tersebut.

Rafizal berkata kepimpinan negara dipilih melalui sistem demokrasi dan rakyat mempunyai hak dalam menentukan siapa pemimpin serta parti memerintah pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Beliau berkata sebarang tindakan tidak selari dengan amalan-amalan demokrasi bagi mengubah atau menukar pimpinan negara yang telah dipilih secara demokratik, harus ditolak.

“Saya secara peribadi juga mengecam tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan menjadi teraju utama deklarasi berkenaan yang pada saya ia bertujuan untuk memuaskan dendam dan nafsu politik peribadi beliau semata-mata.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil dan Malaysia tidak terkecuali terkesan dengannya, seorang negarawan yang pernah memimpin negara selama 22 tahun seharusnya membantu pimpinan semasa negara dalam menangani cabaran global ini,” katanya.

Beliau berkata rakyat perlu berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu perkara agar dapat membuat keputusan terbaik demi masa depan yang cemerlang.

“Menjadi tanggungjawab ahli parti juga untuk menjelaskan isu ini kepada rakyat agar terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment