Sunday, March 27, 2016

Main Tai Chi Pulak..... Projek DASH : Azmin Tuding Kepada Syarikat Konsensi, Kerajaan Pusat

SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata tidak timbul kerajaan negeri melanggar manifesto dijanji ketika Pakatan Rakyat (PR) berikutan pembinaan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (Dash) kerana ia bukan diluluskan sepenuhnya oleh kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan negeri hanya memberikan kebenaran mengikut jajaran ditetapkan kerana ia tertakluk bawah kuasanya manakala selebihnya bergantung kepada kerajaan pusat.

"Kita kena ingat ini syarikat konsensi yang diberikan kelulusan oleh kerajaan persekutuan bukan kerajaan negeri. Kita hanya melihat keperluan pembangunan lebuh raya dan memberikan kebenaran mengikut jajaran yang ditetapkan. Itu sahaja bidang kuasa kerajaan negeri tetapi sebarang perjanjian konsensi itu adalah kerajaan persekutuan.

"Dan kita mahu perjanjian konsensi ini dibuat secara terbuka supaya rakyat mengetahui apakah ROI-nya (return of investment). Apakah kadar tol yang akan dikenakan. Sebab itu kita minta perjanjian konsensi ini mesti didedahkan kepada rakyat supaya kita tahu apakah kesan dan implikasi kepada rakyat khususnya pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita di sini selepas mengunjungi keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah di Seksyen 11, di sini.

Baru-baru ini, wakil penduduk yang menentang pembinaan DASH meluahkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Selangor tidak berterus terang mengenai perkembangan projek bernilai RM11.5 bilion itu.

Menurut jurucakap gerakan ‘Say No To DASH’, Mak Khuin Weng, notis penyiasatan awam berhubung Dash dikeluarkan secara senyap oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan tidak dimaklumkan secara terus kepada penduduk.

Azmin berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong sudah menjelaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai hutan simpanan yang cukup.

"YB Elizabeth telah mengeluarkan kenyataan yang cukup jelas menjelaskan tentang keadaan hutan simpan di Selangor yang merupakan satu-satunya negeri di dalam negara ini yang menjamin satu dasar yang jelas di mana sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan di negeri ini mesti kekal sebagai hutan simpan.

Hari ini kita telah melepasi sasaran tersebut dan hari ini ada 31.56% hutan simpan kekal di negeri Selangor tapi ini tidak bermakna kita akan meneroka atau membenarkan aktiviti pembalakan, tidak ada aktiviti pembalakan di negeri Selangor kerana kita mahu menjamin alam sekitar dan ekosistem yang baik untuk generasi akan datang," katanya.

"Jadi tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pelbagai pihak ini kita telah pun jawab dengan fakta dan maklumat supaya salah faham ini dapat diperbetulkan," katanya lagi.

Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan penarikan perwataan hutamn simpanan yang terlibat sekiranya tidak digantikan terlebih dahulu dengan hutan simpanan yang lain.

"Kita ada satu dasar yang jelas sekiranya ada keperluan untuk membatalkan sebahagian daripada hutan simpan, ianya perlu digantikan terlebih dahulu dan ianya mesti dijalan serentak supaya sebarang bentuk pembangunan tidak akan mencemarkan alam sekitar di negeri Selangor," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmin mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam membenarkan bayaran ganti rugi RM414,800 kepada keluarga itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan tuntutan itu selepas mendapati pihak keluarga telah membuktikan saman mereka terhadap defendan.

Dalam saman itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung remaja itu, Nor Azura Amzah, 45, selaku plaintif menamakan bekas Koperal Jenain Subi, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

"Saya mendesak supaya Ketua Polis Negara sekurang-kurangnya memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid kerana itulah yang telah diputuskan oleh mahkamah," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment