Sunday, March 27, 2016
Saman Tun M Terhadap Najib Hanyalah Agenda Politik - Khairy
PETALING JAYA : Tindakan guaman yang difailkan terhadap Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah
kesinambungan agenda politik untuk menggulingkan perdana menteri, kata
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
"Bagi parti dan kerajaan, kami menyokong penuh perdana menteri dan kami
berpandangan bahawa ia (tindakan guaman) adalah perlanjutan agenda
politik untuk menggulingkan perdana menteri," kata Khairy kepada
pemberita pada Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka di Padang
Kelab Kilat TNB, di sini Sabtu.
Rabu lepas (23 Mac) Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri, bekas
Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan,
dan bekas anggota Umno bahagian Langkawi Anina Saadudin memfailkan saman
terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia
Development Berhad.
Sementara itu Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Mesyuarat
Jemaah Menteri semalam (25 Mac) juga diberi penjelasan berkenaan kes
pegawai kementeriannya yang terbabit dalam penyelewengan dana
kementerian itu yang bernilai RM107 juta.
Katanya, beliau juga memaklumkan kepada jemaah menteri bahawa kes
tersebut kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, siasatan terhadap kes itu juga dilakukan satu pasukan bebas
yang bertugas di bawah Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Audit Negara,
katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata terpulang kepada Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng menimbangkan untuk mengambil cuti sementara
pihak berkuasa menyiasat kes pembelian banglo oleh beliau.
"Saya fikir gesaan ini telahpun dibuat oleh banyak pihak dan terserahlah kepada beliau," katanya.
Pembelian banglo di Jalan Pinhorn di Pulau Pinang oleh Lim dengan harga
RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek
Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan
Rakyat, dan mendakwa harga itu di bawah nilai pasaran.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment