Monday, March 28, 2016
Kongres Rakyat : Tiada Isu Baru, Sekadar Medan Kutuk Mengutuk
KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO menyfatkan perhimpunan Kongres
Rakyat semalam yang turut disertai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin sekadar memutar isu basi dan medan untuk menyerang pemimpin
kerajaan.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata
perhimpunan yang hanya memberi manfaat kepada parti politik pembangkang
itu memutarkan kembali isu basi yang telah bebarapa kali dijawab sebelum
ini semata-mata untuk menghasut pemikiran rakyat.
“Pergerakan Pemuda UMNO yakin, rakyat yang matang tidak akan mudah
menerima bulat-bulat dakwaan dan fitnah yang dilemparkan pada
ucapan-ucapan sepanjang perhimpunan itu yang kebanyakannya dibuat secara
membuta-tuli dan tanpa bukti kukuh.
“Kita juga kesal kerana Dr Mahathir dan Muhyiddin serta bekas Menteri
Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sanggup bersekongkol dengan
pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
“Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO
akan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Najib dan akan membuktikan
bahawa dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau hanyalah taktik
kotor pembangkang,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian
Titiwangsa.
Tegas beliau lagi mereka yang berucap pada perhimpunan semalam
seolah-olah lupa bahawa pemimpin pembangkang juga berdepan dengan
pelbagai isu dan salah laku antaranya membabitkan pembelian rumah banglo
di bawah harga sebenar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Malah PKR juga katanya masih dengan matlamat mereka yang satu iaitu
untuk membebaskan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan
atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya, bukan untuk memperjuangkan
nasib rakyat.
“Lebih menghairankan, perhimpunan tersebut tidak disertai oleh
pemimpin Pas yang sebenarnya sudah dapat melihat bahawa ia hanya agenda
yang hanya menguntungkan Dap.
“Berdasarkan jumlah kehadiran semalam, Deklarasi Rakyat ini tidak
akan berjaya dan boleh diibaratkan sebagai ‘kahwin kontrak’ yang tiada
hala tuju tetapi hanya untuk memenuhi nafsu politik masing-masing
sahaja”, katanya.
Jelas beliau kesemua pemimpin yang berada di atas pentas kongres itu
sama ada pemimpin pembangkang atau bekas pemimpin kerajaan disatukan
atas dasar kebencian terhadap kepimpinan kerajaan semata-mata dan
tamakkan kuasa kerana masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza.
“Dalam ucapan-ucapan mereka juga, tidak ada perancangan khusus untuk
membawa negara ini ke arah yang lebih baik daripada kepimpinan sedia
ada, sebaliknya pesta ‘bogel-membogel’ keburukan yang hanya merosakkan
pemikiran rakyat.
“Sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju meletak jawatan
sebagai Perdana Menteri, apakah pemimpin-pemimpin tersebut layak
menduduki kerusi Nombor Satu negara? Jawapannya sudah tentu tidak!
“Ini kerana kebanyakan pemimpin di atas itu pernah terpalit dengan
skandal-skandal sebelum ini baik pembangkang atau kerajaan. Maka
pihak-pihak ini tiada kredibiliti untuk menyatakan bahawa mereka bersih
segala-galanya”, ujar beliau.
Justeru katanya lagi Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan perbuatan
menghasut adalah sangat berbahaya dan mengharapkan agar Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dapat membuat siasatan terhadap ucapan-ucapan sepanjang
perhimpunan semalam.
“Perdana Menteri dipilih melalui proses demokrasi, bukannya dengan
cara penggulingan kuasa. Tunggu Pilihan Raya Umum ke-14, gunakan kuasa
demokrasi untuk memilih pemimpin mengikut perlembagaan Persekutuan,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment