Monday, March 28, 2016
Kemelut Politik Di Terengganu Sudah Berakhir, Hanya Provokasi - MB T’ganu
KUALA TERENGGANU : Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad
Razif Abdul Rahman berkata isu politik yang timbul di Terengganu telah
berakhir dan kemelut yang disebar luas di media sosial hanyalah
spekulasi semata-mata.
Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri turut
menafikan akan ada Pilihanraya Negeri (PRN) seperti yang diviralkan
sejak beberapa minggu lepas.
Isu berkenaan timbul setelah Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal,
Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan undi tidak percaya ke atas Razif pada
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 8 Mac lepas namun ditolak
Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong.
“Kita tak ada isu di Terengganu, ianya hanya viral dan kita tak ada
masalah…Terengganu masih lagi 17 BN (Barisan Nasional), 14 PAS dan satu
PKR.
Kalau berlaku apa-apa keadaan di DUN Kijal, kita masih lagi 16 BN, 14
PAS, satu PKR, satu Bebas dan kita masih lagi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kira-kira
100 pengamal media pada Majlis Makan Malam Santai Menteri Besar bersama
Media Terengganu di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Razif turut meminta kepada semua pihak untuk
menghentikan segala provokasi yang hanya boleh merugikan rakyat.
“Saya tak nampak akan terjadi apa-apa…saya rasa banyak provokasi yang
mungkin cuba menggagalkan apa yang sedang kerajaan buat sekarang ini,”
katanya.
Beliau berkata tidak ada isu serius yang berlaku dan jangan lagi
dijadikan isu ini sebagai tajuk utama yang hanya boleh membawa kerugian
dan kebimbangan kepada rakyat hingga menyebabkan segala pembangunan yang
dirancang dan sedang dilaksanakan gagal.
“Jadi saya rasa kita tak perlu layan sangat tentang isu-isu ini dan
kita perlu pandang ke depan…apa yang penting ialah kepentingan rakyat
dan apa yang berlaku hanyalah seperti ribut dalam cawan,” katanya.
Ahmad Razif berkata beliau akan terus memandang positif dan
meneruskan segala pembangunan yang telah dirancang bagi memastikan
setiap projek yang dirangka untuk kepentingan rakyat akan dilaksanakan.
“Saya akan terus bergerak ke depan kerana Terengganu sekarang sudah
berada di atas landasan yang betul dan kita tak boleh menjadikan apa
yang berlaku sebagai penghalang untuk kita laksanakan pembangunan yang
dirancang termasuk projek yang dirancang oleh bekas-bekas menteri besar
dahulu yang mana apa sahaja untuk rakyat akan menjadi keutamaan bagi
saya,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment