Sunday, March 27, 2016
Isu Banglo Bukan Untuk 'Serang' Ketua Menteri
KEPALA BATAS : Isu pembelian banglo Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn, George
Town dekat sini bukan sengaja dibangkitkan oleh Umno atau Barisan
Nasional (BN) untuk 'menyerang' ketua menteri itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Reezal
Merican Naina Merican berkata isu itu dibangkitkan Anggota Parlimen
Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat bagi mendapatkan
penjelasan daripada beberapa pihak lain dan bukannya Lim semata-mata.
"Datuk Shabudin bertanya untuk mendapatkan jawapan daripada Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Penilaian dan Pembangunan
Harta (JPPH) berhubung penjualan banglo yang didakwa murah berbanding
harga pasaran.
"Beliau (Shabudin) tidak menyerang Lim secara peribadi sebaliknya ingin
tahu dan mendapat penjelasan. Saya berpendapat ketua menteri juga harus
tampil dan menjawab perkara itu," katanya kepada pemberita di sini,
Sabtu.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Koon Yeow yang
mendakwa isu pembelian banglo Lim dan kaitannya dengan tanah Taman
Manggis adalah serangan peribadi.
Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas dan Timbalan
Menteri Luar berkata Lim perlu tampil dan memberi penjelasan berhubung
isu banglo itu kerana rakyat Pulau Pinang juga mahukan jawapan
daripadanya.
"Bagi saya, perkara ini membangkitkan tiga perkara yang jelas perlu
dijawab sendiri oleh Lim iaitu yang pertama apakah pembelian di bawah
harga pasaran ini benar berlaku atau sebaliknya.
"Kedua secara tidak langsung, pembelian ini adalah suatu yang luar biasa
dan perlukan penjelasan daripada pihak-pihak terlibat manakala yang
terakhir apakah pembelian luar biasa ini mengikut undang-undang dan
tidak mempunyai agenda lain," katanya.
Pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Shabudin yang juga
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang meminta JPPH membuat
penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli Anggota
Parlimen Bagan itu sedangkan nilai semasa rumah itu adalah lebih RM3
juta.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot
tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk
pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment