Sunday, March 27, 2016

Perhimpunan Jatuhkan Najib Hanya Untuk Kepentingan Dr. Mahathir

KOTA BHARU : Perhimpunan haram bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dirancang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama pembangkang pada Ahad ini adalah demi kepentingan kumpulan terbabit, bukannya rakyat.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Kelantan, Zakaria Salleh berkata, perhimpunan yang dirancang itu tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat, sebaliknya ingin memenuhi agenda peribadi individu terlibat.

“Matlamat Dr. Mahathir ialah mahu Najib berundur manakala pemimpin-pemimpin pembang­kang ingin melihat UMNO jatuh. Kami mahu pihak berkuasa meng­halang perhimpunan seperti ini,” katanya selepas membuat laporan membantah perhimpunan haram tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini semalam.

Selain Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Kelantan, dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kebajikan Prihatin Masyarakat Kelantan (Peribumi) dan Persatuan Peniaga Kawasan Kota turut membuat laporan sama.

Sementara itu, wakil Peribumi, Sabri Mohd. Salleh berkata, perhimpunan haram itu tidak sepatutnya diadakan kerana bakal menimbulkan lebih banyak masalah daripada kebaikan.

“Perhimpunan 27 Mac ini boleh mendatangkan pelbagai masalah serta memudaratkan negara. Oleh itu, kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat. Pihak berkuasa serta kerajaan berhak untuk menghalang perhimpunan haram,” katanya.

Setiausaha Peniaga Kawasan Kota, Mat Razali Deraman pula ber­kata, pihak berwajib harus menghalang perhimpunan haram itu diadakan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Perhimpunan ini tidak sewajarnya diadakan kerana ia boleh mencetus masalah perkauman seki­ranya berlarutan. Dr. Mahathir tidak seharusnya bertindak sedemikian kerana zamannya sudah berlalu,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment