Friday, March 25, 2016
Mahathir Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang
EDITOR MENULIS...
24 MAC 2016
Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sungguh beruntung kerana
boleh dikatakan hampir seluruh ahli dan pemimpin UMNO di zaman gemilang
beliau amat setia dan tetap menyokongnya selama lebih 2 dekad.
Atas kesetiaan dan sokongan dari orang UMNO kepada pemimpin itulah yang
membuat beliau kekal menjadi Presiden dan Perdana Menteri Malaysia yang
ke-4 selama 22 tahun, paling lama dalam sejarah negara hingga kini.
Kata penyokong taksubnya, Mahathir disokong orang UMNO ketika itu adalah
kerana kehebatan dirinya. Kononnya, beliau langsung tidak terpalit
dengan skandal, rasuah, salah guna kuasa dan disifatkan paling 'suci'
dalam dunia politik negara.
Saya juga merupakan orang UMNO ketika Mahathir menjadi Presiden dan
Perdana Menteri dulu. Sebagaimana ahli UMNO yang lain, saya setia,
menyokong Presiden UMNO dan akui jasa-jasa yang beliau selama 22 tahun
itu. Memang itulah yang wajarnya.
Namun begitu, saya tidak pula mampu menafikan segala onar, kesalahan,
kesilapan dan tindakan tidak wajar yang pernah dilakukan Mahathir
ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Pun begitu, saya terpaksa
'diamkan' segala kekhilafan Mahathir tersebut.
Mungkin ada yang mengecam saya kerana 'mendiamkan diri' dan tidak
membidas Mahathir ketika itu. Mungkin ada yang mengandaikan saya
'pengecut', 'penakut' dan sebagainya. Selalunya, itulah tanggapan
pertama dari mereka yang tidak tahu realiti sebenar politik di zaman
Mahathir...
Saya mendiamkan diri kerana tidak mahu senasib seperti pemimpin
politik yang 'ditanam hidup-hidup' politik mereka kerana menentang
Mahathir. Saya juga tidak mahu menjadi seperti ahli-ahli yang
dipecat, 'sengaja disusahkan', 'disekat' dan digelar sebagai
'pengkhianat parti'.
Di zaman Mahathir dulu, antara yang pernah menjadi mangsa ialah Tun Musa
Hitam, Tengku Razaliegh Hamzah, Tan Sri Rais Yatim, Tun Ghafar Baba dan
ramai lagi. Ketua Hakim Negara yang sepatutnya 'kebal' dari campur
tangan politik pun 'dipecat' Mahathir.
Dato' Seri Najib Tun Razak mungkin tamatkan khidmat Peguam Negara, tapi
Mahathir tanpa rasa bersalah memecat Tun Salleh Abbas kerana beliaulah
yang mengisytiharkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang tidak
sah dan 'haram'.
Di zaman Mahathir dulu, beliau dikatakan pernah 'menyelamatkan' syarikat
anaknya dengan 'bail out' sebanyak RM1 bilion dari sumber Petronas pada
tahun 1998. Ketika keadaan ekonomi negara lebih gawat dari kegawatan
sekarang, beliau tanpa rasa bersalah tergamak berbuat begitu?
Kenapa beliau tidak pecat diri sendiri ketika itu? Kenapa beliau tidak
buat deklarasi untuk memaksa dirinya meletak jawatan? Sebaliknya, yang
dikatakan menjadi mangsa ketika itu adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim
kerana enggan membenarkan 'bail out' tersebut.
Habis segala 'rahsia peribadi' Anwar didedahkan. Mentang-mentanglah
Anwar memang hidupnya terpalit dengan segala 'kurap dan kudis', habis
Mahathir selak untuk tatapan umum. Malah Anwar akhirnya merengkok dalam
penjara bertahun-tahun.
Mahathir dulu juga mengajar orang UMNO untuk benci dan tidak percaya
pada media barat. Salah satunya Asian Street Journals (ASJ), 'adik'
kepada Wall Street Journals (WSJ). Depan orang ramai, Mahathir memang
selalu 'hentam' dan malukan wartawan asing.
Tapi kini, Mahathir berubah. WSJ bagaikan 'kitab suci'nya. Dia sokong
dan percaya apa saja yang disiar WSJ walaupun laporan itu adalah dari
sumber Sarawak Report yang cukup terkenal dengan laporan berat sebelah,
tidak benar dan berunsur fitnah.
Mahathir tidak pernah saman media asing yang memfitnah dan memperlekeh
beliau. Tapi kini beliau mahu Najib saman WSJ dan bertindak terhadap
Sarawak Report. Memang SKMM dan KDN sudah bertindak terhadap Sarawak
Report, tapi untuk memfailkan saman terhadap WSJ,ia tidak semudah yang
difikirkan.
WSJ berpangkalan di Amerika Syarikat, bukan Malaysia. Sudah tentu ada
kekangan dan pelbagai halangan perundangan untuk berbuat demikian. Gopoh
melangkah, mungkin masuk longkang! Najib tidak bodoh untuk bertindak
gelojoh untuk memuaskan hati Mahathir. Tidak saman pun tidak mengapa,
contohi cara Mahathir dulu yang tidak pernah saman media asing...
Sebenarnya banyak sangat kesilapan, kesalahan dan tindakan tidak wajar
Mahathir dulu. Lebih lama memerintah, sudah tentulah lebih banyak salah
dan silapnya. Skandal Perwaja, PKFZ, MISC, Memali, krisis perlembagaan
dan banyak lagi. Itu hanya sedikit dari kontroversi yag besar, banyak
lagi kontroversi kecil yang beliau lakukan dulu...
Tapi walau apa pun salah Mahathir, orang UMNO di zamannya tetap setia
dan menyokongnya. Bukanlah kami 'buta', tapi kami diketuai oleh seorang
'diktator' yang 'mahazalim' dan mengamalkan corak pemerintahan 'kuku
besi' ketika itu. Bukan penulis yang kata begitu, tapi hampir semua
parti pembangkang dan media asing kata begitu.
Mungkin kami 'buta' ketika itu kerana berketuakan Mahathir. Tapi selepas
kami 'dicelikkan' kini, barulah kami sedar tentang kesilapan memberikan
22 tahun kepada Mahathir tunjukkan 'kehebatannya'. Padahal, beliau
tidaklah sehebat mana.
Pada pandangan saya, Mahathir hanya dilihat 'hebat' oleh mereka yang
taksub padanya sahaja. Mungkin beliau berjasa, namun jasa-jasa itu tidak
mampu memadam 'dosa-dosanya'. Jika 'hebat' sekalipun, dia hanya
'dihebatkan' oleh akar umbi UMNO.
Tapi kini Mahathir sudah tunjukkan 'warna sebenar'. Dia khianati UMNO
dan 'jilat kembali segala ludah berkahak hijau' yang pernah beliau
hamburkan dulu. Saya tidak hairan dia keluar UMNO. Dato' Onn Jaafar,
Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn juga keluar dari UMNO selepas
menjadi Presiden UMNO. Tiada yang luar biasanya.
Cuma saya ingin ucapkan terima kasih atas jasa-jasa Mahathir selama
22 tahun itu. Namun saya mahu beritahu bahawa mereka yang hidup, tahu
dan sedar tentang 'dosa-dosa' Mahathir.
Mereka yang kenal dan mengkaji siapa seorang 'Mahathir' sudah tentu
kenal dengan kelicikan politiknya. Mereka pasti tersenyum dan faham
bahawa gerakan kali ini adalah gerakan awal kem Mahathir dalam usaha
menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri. Mengaku sajalah...
Boleh kita fikirkan bersama...? Mudah-mudahan...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment