Monday, March 28, 2016

Skor Keseluruhan Indeks Syariah Malaysia 2015 Adalah 75.42 Peratus – Najib

http://media.themalaymailonline.com/uploads/articles/2016-03/najib_tilawah_quran.JPG
PUTRAJAYA : Skor keseluruhan Indeks Syariah Malaysia bagi 2015, yang julung kalinya dikeluarkan dalam sejarah sistem pentadbiran negara, adalah sebanyak 75.42 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata nilai indeks syariah itu adalah berdasarkan pencapaian lapan bidang utama pentadbiran negara yang dibuat melalui penyelidikan yang komprehensif dan saintifik.

Lapan bidang tersebut adalah pendidikan, perundangan Islam, politik, kesihatan, ekonomi, budaya, sosial serta prasarana dan persekitaran.

“Indeks yang pertama kali di dunia seumpamanya ini, adalah berdasarkan hasil dapatan penyelidikan yang telah berjalan selama enam bulan di seluruh Malaysia dengan tenaga kepakaran seramai 133 orang penyelidik dalam pelbagai disiplin ilmu,” katanya.

Najib berkata demikian ketika membentangkan Laporan Kajian Indeks Syariah Malaysia bersempena Majlis Ulama-Umara 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran yang saintifik dan menyeluruh bagi menentu ukur kedudukan kerajaan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip asas Islam iaitu Maqasid Syariah.

Lima elemen utama dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan kayu ukur utama yang akan digunakan untuk mengukur lapan bidang utama pentadbiran negara tersebut.

Najib berkata berdasarkan dapatan kategori pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat, Indeks Syariah Malaysia untuk bidang pendidikan adalah sebanyak 82.5 peratus yang menunjukkan usaha dalam pembangunan pendidikan diterima secara positif oleh rakyat.

Indeks syariah dalam bidang perundangan Islam pula adalah sebanyak 87.19 peratus dan adalah hasil ulama dan umara yang telah meletakkan syariah di tempatnya sebelum zaman penjajahan lagi, katanya.

“Mempertikaikan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah menafikan sejarah, budaya malah perlembagaan yang membentuk negara ini,” katanya.

Mengenai bidang ekonomi yang mencapai 65.27 peratus, Najib berkata walaupun asas sistem ekonomi Malaysia adalah konvensional namun kerajaan sentiasa berusaha mengadaptasi syariah dalam sistemnya secara berperingkat malah banyak dasar ekonomi negara kini bertepatan dengan Maqasid Syariah.

Dalam bidang politik pula, kajian merumuskan nilai skor bagi bidang tersebut adalah sebanyak 79.19 peratus, katanya.

“Peratusan indeks ini, sudah cukup untuk kita bermuhasabah tentang prestasi kita untuk melakukan lebih banyak pengislahan dalam bidang politik di negara ini,” katanya.

Untuk sektor kesihatan yang mendapat nilai 73.92 peratus, Perdana Menteri berkata kerajaan telah meletakkan nilai Maqasid Syariah dalam memenuhi mashalah umat yang bersifat keperluan asasi, termasuk pembukaan Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan caj RM1 untuk setiap rawatan yang diberikan.

Beliau berkata kajian menunjukkan bidang sosial mendapat indeks sebanyak 68.52 peratus yang disumbangkan oleh faktor seperti persekitaran politik yang kondusif.

“Pembangunan indeks sosial amat penting sebagai penanda aras kepada praktis Islam yang dirancang dan diamal selama ini, dan kerajaan akan meneliti cadangan-cadangan penambahbaikan yang dikemukakan,” katanya.

Bagi bidang budaya pula, Najib berkata sektor tersebut mendapat 66.47 peratus dan nilai indeks tersebut menunjukkan bahawa masih terlalu banyak ruang yang perlu dibaiki agar dasar budaya yang digubal selari dengan Maqasid Syariah.

Mengenai sektor prasarana dan persekitaran yang mendapat 62.31 peratus, katanya kerajaan melihat keperluan untuk diteliti satu persatu kelompongannya untuk memastikan rakyat dapat hidup aman dan harmoni dalam aspek prasarana dan persekitaran.

Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan Malaysia memperoleh skor keseluruhan Laporan Indeks Syariah 2015 sebanyak 75.42 peratus. 

Skor itu berdasarkan penyelidikan komprehensif dan saintifik merangkumi lapan bidang utama yang berkaitan pelaksanaan dasar dan program kerajaan iaitu bidang pendidikan; perundangan Islam; ekonomi; politik; kesihatan; sosial; budaya dan prasarana dan persekitaran.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaannya lebih efektif dan berimpak tinggi.

Katanya beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu, manakala ketua setiausaha negara memimpin urus selia jawatankuasa itu. 

Najib berkata pengenalan indeks itu diharapkan berupaya menjadi satu bentuk penyelesaian terhadap konflik dalam masyarakat negara ini dan dunia Islam di mana istilah ‘negara Islam’ dijadikan punca atau polemik dan perbalahan sehingga berlakunya bunuh membunuh antara sesama umat.

“Projek indeks syariah ini begitu penting dan dekat di hati saya sebagai ketua kerajaan, dan bersama komitmen rakan-rakan dalam kerajaan kita akan pastikan usaha pelaksanaannya dilakukan dengan efektif.

“Kita bersedia untuk indeks syariah ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata hubungan, kerjasama dan perbincangan bersama para ulamak akan terus dimantapkan dan pihak lain juga diundang memberi pandangan ke arah penambahbaikan untuk pelaksanaan indeks yang lebih sempurna.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment