Sunday, March 27, 2016
Pemuda UMNO Tidak Goyang… Saman Tun M Cuma Agenda Politik Guling PM
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga tidak goyang dengan tindakan Tun Dr
Mahathir Mohamad Rabu lalu fail saman terhadap Datuk Seri Najib Tun
Razak berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development
Berhad dan dana RM2.6 billion.
Ketuanya,Khairy Jamaluddin menilai langkah itu cuma kesinambungan agenda
politik bekas Perdana Menteri itu untuk menggulingkan Perdana Menteri.
"Bagi parti dan kerajaan, kami menyokong penuh Perdana Menteri dan kami
berpandangan bahawa ia (tindakan guaman) adalah perlanjutan agenda
politik untuk menggulingkan Perdana Menteri," kata Khairy kepada
pemberita pada Program Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka di Padang
Kelab Kilat TNB, di Kuala Lumpur Sabtu.
Rabu lepas (23 Mac) Dr Mahathir , bekas Naib Ketua UMNO bahagian Batu
Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dan bekas anggota UMNO bahagian
Langkawi Anina Saadudin memfailkan saman terhadap Najib berhubung
dakwaan salah laku membabitkan 1MDB dan dana RM2.6 billion.
Kalangan pimpinan UMNO lain termasuk Ketua Penerangan UMNO Malaysia,Tan
Sri Annuar Musa juga menilai tindakan saman itu jelas mengambarkan Dr
Mahathir sudah gagal satu langkah menerusi jalan politik.
Dalam perkembangan berkaitan kalangan bekas pemimpin Pergerakan Pemuda
UMNO bakal digerakkan di seluruh negara untuk memberi penerangan
mengenai isu-isu terkini yang selama ini diputar belit sesetengah pihak.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Johor Datuk Nasir Safar berkata 'gelombang
deklarasi menyokong kepimpinan Najib' akan digerakkan bermula di Johor,
dan seterusnya ke seluruh negara.
Nasir, yang juga Presiden Persatuan Veteran Kelab-kelab Belia (MAYC)
Malaysia, akan turut turun padang bersama beberapa anggota jawatankuasa
lain bagi memberi penerangan berkenaan.
"Satu perhimpunan besar-besaran akan kita adakan di Kuala Lumpur pada
Mei bersama bukan sahaja ahli veteran MAYC malah ahli MAYC kini,"
katanya kepada pemberita selepas jamuan malam bersama kira-kira 200
anggota Persatuan Veteran MAYC negeri Johor di Pontian, Jumaat malam.
Nasir, Ketua Pemuda UMNO Johor dari 1988 sehingga 1993, berkata anggota
veteran MAYC kecewa dengan perkembangan terkini terutama tindakan bekas
pemimpin lama UMNO yang mula bekerjasama dengan parti pembangkang.
Katanya tindakan bekas pemimpin UMNO seperti Dr Mahathir yang
bersepakat dengan parti pembangkang seperti DAP tidak boleh dimaafkan.
Selain itu, satu memorandum daripada bekas pemimpin Pemuda dari 1988
sehingga 1993 akan turut diserahkan kepada perdana menteri sebagai tanda
sokongan memandangkan Najib juga memegang jawatan Ketua Pergerakan
Pemuda UMNO dari 1987 sehingga 1993.
"Kami bersedia untuk bangkit semula membantu menyatupadukan masyarakat,
selain membantu menerangkan maklumat sebenar yang sebelum ini diputar
belit sesetengah pihak," katanya, sambil menyatakan sokongan padu di
belakang kepimpinan presiden UMNO itu.
Dianggarkan anggota veteran MAYC adalah 10,000 orang manakala anggota
MAYC kira-kira 20,000 hingga 30,000 orang di seluruh negara.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment