Sunday, March 27, 2016

Khalid Ibrahim Tak Mahu Sertai Himpunan Beri Janji Kosong Kepada Rakyat

PETALING JAYA : Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu beliau tidak akan menyertai mana-mana himpunan yang disifatkan sebagai kerja sampingan dan tidak mahu membuang masa dengan berjanji kosong kepada rakyat.

“Kalau Umno jemput pun, saya tak pergi. Sebelah sana pun saya tak pergi. Sebab saya rasa… kita terlalu banyak membuat kerja-kerja sampingan, permainan sampingan tapi isu utama, tidak selesaikan.

“Jadi, saya tidak mahu buang masa bercakap atau berjanji tetapi tidak membuat apa-apa selepas itu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian

Mengulas lanjut, Khalid juga menyatakan rakyat pada hari ini mempunyai pilihan untuk menjadikan negara ini lebih baik.

“Saya rasa masa yang kita gunakan itu lebih baik kalau kita gunakan…misalnya, kalau anda seorang doktor, kita boleh buat ‘free clinic’ untuk rumah kos rendah dan sebagainya serta beri galakkan kepada anak-anak mereka supaya belajar lebih baik untuk jadi doktor.

“Kalau kita akauntan, kita boleh buat satu kursus usahawan muda membimbing mengira akaun kemudian ajar mereka bagaimana nak menjaga pengurusan yang baik. Maksudnya, ada lagi pilihan lain yang boleh kita lakukan,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan pengalaman yang dialami negara jiran, Thailand dan Filipina, perbalahan dua kelompok itu akhirnya hanya akan merugikan rakyat.

“Berarak sekali sekala itu bolehlah, tapi ikut tatacara kita, saya rasa negara Malaysia tidak perlu.

“Seperti di Thailand, rakyat rugi kerana demokrasi tidak lagi berlaku apabila dikuasai tentera. Pergaduhan dua kumpulan yang menegakkan demokrasi menghasilkan tiada lagi demokrasi. Jadi, kita kena fikir dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Katanya, meskipun pengurusan negara hari ini tidak sebaik yang diharapkan, namun sekurang-kurangnya rakyat menikmati pembangunan.

“Tapi yang kita perlukan ialah lebih cekap, lebih bersih dan lebih bertanggungjawab. Itu sahaja. Bukan tujuan kita untuk revolusi,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment