Friday, March 25, 2016
Ku Li Sokong Najib
Teka-teki berhubung pendirian Tengku Razaleigh
Hamzah dalam perkembangan politik semasa seolah-olah terjawab apabila
Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menandatangani Deklarasi Kelantan
yang menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Gambar majlis itu dimuat naik di laman sosial Facebook Ketua
Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menunjukkan Tengku Razaleigh
dan barisan pimpinan UMNO Kelantan yang diketuai oleh Pengerusi Badan
Perhubungannya, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan deklarasi
tersebut kepada Najib.
Annuar ketika ditemui selepas majlis itu berkata, penyerahan
deklarasi itu susulan perhimpunan kira-kira 10,000 rakyat Kelantan di
Kota Bharu pada Sabtu lalu bagi menyatakan sokongan kepada Najib serta
menolak pakatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan
pembangkang.
Menurut beliau, dalam pertemuan selama dua jam itu, pemimpin-pemimpin
Kelantan dan Perdana Menteri turut berbincang mengenai hal ehwal
kemajuan negeri Kelantan.
“Antaranya termasuk hal-hal berkaitan royalti minyak, cadangan
menyegerakan pembinaan lebuh raya baharu iaitu dari Gua Musang ke Kota
Bharu, pembesaran lapangan terbang serta pembinaan stadium baharu.
“Kita juga mengemukakan syor-syor tertentu kepada Perdana Menteri.
Selain mengucapkan terima kasih kepada inisiatif yang kami ambil,
Perdana Menteri juga berjanji akan melihat syor-syor yang dikemukakan
pemimpin-pemimpin Kelantan,” katanya.
Annuar bagaimanapun berkata, syor-syor tersebut tidak boleh
didedahkan secara terperinci kerana masih dalam pertimbangan Najib namun
banyak menyentuh hal-hal berkaitan politik, pembangunan dan ekonomi.
Dalam pertemuan itu juga, kata Annuar, Perdana Menteri turut
berkongsi tentang perancangannya dalam mengukuhkan ekonomi serta hasil
daripada langkah-langkah yang telah diambilnya dalam menangani keadaan
kelembapan ekonomi global.
Pendirian Tengku Razaleigh dalam arena politik semasa sering menjadi
persoalan berikutan tindakan Dr. Mahathir mengetuai sekumpulan individu
termasuklah pemimpin pembangkang menggerakkan satu deklarasi mahu
menjatuhkan Najib.
Pada majlis menandatangani deklarasi menentang Najib itu, nama Tengku
Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan turut diumum oleh pengacara
meskipun beliau tidak hadir.
Berikutan itu, timbul tanda tanya mengenai pendirian sebenar veteran UMNO berkenaan.
Pada 7 Mac lalu, ketika ditemui wartawan pada sesi pembukaan sidang
Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh menjelaskan beliau tidak mengetahui
mengenai majlis menandatangani deklarasi menjatuhkan Najib itu.
“Saya tidak hadir. Saya tidak menyokong. Saya tidak tahu pun,” katanya ketika itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment