Friday, March 25, 2016
Padan Muka... Kerajaan Jangan Bantu Mereka Ini..... Kejar Upah RM500, Rakyat Malaysia Mungkin Meringkuk 50 Tahun Di Penjara Thailand
BANGKOK: Hanya kerana mengejar upah sebanyak RM500 bagi setiap beg
berisi 'kopi segera' dan 'biskut' yang dibawa, ramai rakyat Malaysia
yang menjadi 'keldai dadah' di sempadan Malaysia-Thailand tidak
menyedari realiti yang bakal dialami mereka - meringkuk dalam penjara di
sebuah negara asing.
Tempoh penjara bagi pesalah dadah di negara ini ialah antara 40 hingga
50 tahun dan itulah nasib yang mungkin dialami 15 rakyat Malaysia yang
diberkas polis Thailand dalam operasi membanteras dadah dua hari lepas.
Mereka ditahan polis Thailand bersama-sama 226 kilogram dadah sintetik
jenis 'Ice' dan lapan kilogram Heroin yang dibungkus menyerupai kopi
segera dan biskut.
"Saya tidak tahu tentang kandungan sebenar beg itu, saya hanya mengambil
upah RM500 bagi setiap beg (berisi 'kopi' dan 'biskut) yang saya
angkat," kata seorang daripada rakyat Malaysia terbabit kepada penyiasat
tempatan, Khamis.
Sebelum itu, dia dan 14 rakyat Malaysia yang lain dibawa ke bangunan
Biro Penyiasatan Pusat (CIB) Thailand untuk ditampilkan bersama-sama
rampasan dadah itu dalam satu sidang media.
Semasa ditemui Bernama, penyiasat tempatan itu berkata adalah amat sukar
baginya untuk mempercayai alasan rakyat Malaysia terbabit yang mendakwa
tidak tahu-menahu tentang kandungan beg yang mereka bawa.
"Mungkin ia hanya alasan tetapi apa pun mereka kini berdepan kemungkinan menghabiskan sisa-sisa hidup dalam penjara," katanya.
Menurutnya adalah amat malang sekali jika alasan yang diberikan rakyat Malaysia itu sememangnya benar.
Beliau menjelaskan bahawa Thailand mempunyai peruntukan hukuman mati
tetapi ia jarang digunakan sebaliknya pesalah dadah sering dijatuhi
hukuman penjara bagi tempoh panjang.
Kesemua 15 rakyat Malaysia itu ditahan di empat stesen kereta api
Ratchaburi, Hua Hin, Prachuabkirikan dan Surat Thani pada Rabu ketika
sedang menaiki kereta api Hualamphong-Butterworth.
Bilangan rakyat Malaysia yang terlibat dalam kes rampasan dadah terbesar
dalam jangka masa terdekat itu mungkin meningkat kepada 21 orang
selepas enam orang lagi ditangkap ketika menaiki sebuah van di Hatyai
pada hari yang sama.
"Enam rakyat Malaysia itu akan dibawa ke Bangkok hari ini untuk siasatan lanjut Polis Thailand," kata seorang sumber tempatan.
Polis Lebuhraya Thailand yang memaklumkan kepada Bernama tentang
penangkapan enam orang itu, percaya bahawa seorang daripada mereka
terbabit dengan kumpulan 15 rakyat Malaysia itu berdasarkan rekod
perjalanannya.
Sumber Malaysia turut mengesahkan penahanan enam rakyat Malaysia di Hatyai, dan kini menyiasat dengan lanjut.
Bagaimanapun, penahanan hampir 21 warga Malaysia dengan sejumlah dadah
dalam kuantiti yang amat besar memang mengejutkan pasukan polis Thailand
dan Malaysia.
"Kita biasa menerima laporan empat, lima rakyat Malaysia ditahan Polis
Thailand atas kesalahan dadah...tetapi ini 15 orang dan terdapat
kemungkinan bilangannya meningkat kepada 21 orang. Ia sejarah dengan
jumlah rampasan yang amat besar," kata sumber.
Disebabkan pembabitan rakyat Malaysia yang ramai dengan jumlah rampasan
yang besar, Polis Thailand telah meminta bantuan Bukit Aman untuk
menghantar anggotanya ke Thailand bagi membantu siasatan kes itu.
"Dua atau tiga pegawai Bukit Aman akan ke Bangkok dalam jangka masa
terdekat untuk membantu Polis Thailand, selepas mendapat kelulusan Ketua
Polis Negara," kata sumber itu kepada Bernama.
Sumber itu turut mendedahkan kesemua 15 rakyat Malaysia itu didalangi
oleh seorang rakyat negara itu yang dikenali sebagai 'Ngor', yang turut
ditangkap Polis Thailand.
Berdasarkan rekod Imigresen Thailand, mereka tiba di negara ini secara
berasingan sama ada melalui jalan darat atau udara pada 14, 15 dan 16
Mac sebelum kesemuanya menaiki penerbangan ke Chiangmai.
Bungkusan dadah itu pula dipercayai berpunca dari kawasan Segitiga Emas
berhampiran sempadan Myanmar, Thailand dan Laos, yang sememangnya
terkenal dengan gelaran 'kilang dadah dunia'.
Menurut sumber itu lagi, empat daripada 15 rakyat Malaysia itu didapati
telah beberapa kali memasuki Thailand sebelum ini dengan dua daripadanya
sudah lapan kali ke negara ini manakala dua lagi sebanyak empat kali.
Selebihnya pula didapati memasuki Thailand buat pertama kalinya, kata beliau.
Selain itu, pemeriksaan mendapati lapan daripada rakyat Malaysia itu memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.
Mengenai destinasi sebenar dadah yang dirampas itu, sumber berkenaan
memberitahu perkara itu sedang disiasat pihak berkuasa tetapi tidak
menolak kemungkinan Malaysia menjadi negara transit sebelum dadah itu
'dihantar' ke negara lain.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment