Sunday, March 27, 2016

Tindak Tanduk Ku Li Lebih Matang Berbanding Mahathir

Sekiranya diimbas kembali kepada sejarah UMNO pada tahun 1987, mungkin ramai yang ingat tentang bagaimana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhutang budi pada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Najib ketika itu hanya memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO, namun beliau dikatakan agak berpengaruh dalam menentukan undi bagi jawatan Presiden yang sedang direbut Mahathir dan seteru utama politik dalamannya, Tengku Razaliegh Hamzah.

Keputusan Najib yang memihak kepada Mahathir dikatakan telah menyelamatkan karier Mahathir ketika itu. Jika Najib memihak pada Ku Li pada peristiwa 1987 berkenaan, ramai orang lama UMNO yang setuju bahawa Mahathir akan jatuh terguling secara demokrasi ketika itu.

Namun itu hanya kisah lama. Kisah yang dikatakan ‘sudah lapuk dek zaman’. Biarpun tidak mengenang budi baik Najib dan sebaliknya berusaha gigih menjatuhkan individu yang menyelamatkan politiknya, tidak perlulah dikenang sangat sikap Mahathir itu. Mungkin itu sifat semulajadinya sejak lahir…

Walau bagaimanapun, kita melihat sikap yang agak berbeza yang ada pada Ku Li.

Kita semua tahu Najib memihak pada Mahathir pada 1987 dan tidak memihak pada Ku Li. Tindakan itu telah menyebabkan Ku Li tewas tipis dalam merebut jawatan Presiden UMNO pada siri pemilihan agung parti ketika itu.

Krisis kepimpinan yang berlaku ketika itu memang menghuru-harakan UMNO. UMNO terbelah dua kepada ‘team A’ dan ‘team B’. Kerana setia Najib kepada penyandang Presiden ketika itulah yang menyebabkan Ku Li ‘dibenam’ Mahathir dan ‘disejuk bekukan’ dari pucuk pimpinan.

Malah, akibat ‘clash of the both titans’ ketika itu turut menyaksikan UMNO diisytihar sebagai pertubuhan haram oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas. Mungkin Najib hanya tukar Peguam Negara, namun Mahathir disifatkan lebih teruk lagi memecat Tun Salleh Abas kerana keputusan mengharamkan UMNO. ‘Paku dulang, paku serpih’…

Walaupun Najib menjadi punca Ku Li tewas, gagal menjadi Presiden UMNO dan seterusnya merampas kedudukan Mahathir sebagai Perdana Menteri, semalam beliau dengan senang hati menandatangani deklarasi menyokong Najib sebagai Perdana Menteri.

Begitulah hebatnya Ku Li, salah seorang tokoh genius UMNO yang disia-siakan Mahathir sejak sekian lama berkuasa. Mungkin sebagai ahli politik veteran dan kaya dengan pengalaman, beliau yakin prinsip politik yang tulen dan bertindak bijak menyokong Perdana Menteri demi kestabilan politik negara.

Ku Li boleh saja duduk di kem Mahathir, namun beliau tidak berbuat demikian. Mungkin beliau pun tahu bahawa tindakan Mahathir itu ‘ada udang di sebalik batu’. Mungkin beliau yakin bahawa tindakan Mahathir itu mengkhianati sumpah keramat bangsa.

Mungkin juga Ku Li enggan bersekongkol dengan mereka-mereka yang pernah digelar ‘syaitan’ dan ‘rasis’ oleh Mahathir sendiri. Dan mungkin kerana tahu tindakan Mahathir itu menyalahi etika dan prinsip kepartian. Dan mungkin juga Ku Li enggan menyertai Mahathir kerana beliau tidak mahu memberi contoh buruk kepada generasi akan datang.

Apapun, kita boleh mengucapkan tahniah kepada Ku Li. Kematangan beliau dalam tindakan politiknya kali ini amat penulis kagumi. Mungkin itulah kualiti yang ada pada pengasas sebenar Petronas ini walaupun ada ‘orang tak malu’ yang mengaku kononnya Petronas itu idea otaknya… 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment