Sunday, April 03, 2016
Amat Menakutkan Sekali.... Wanita Hampir Putus Tangan Ditetak Penyamun
PULAU PINANG : Seorang wanita yang juga pekerja kedai telefon
bimbit di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul di sini hampir putus
tangan kiri akibat ditetak dalam kejadian samun di tempat letak
kenderaan bangunan itu lewat malam kelmarin.
Tangan kiri Wong Yin Yin parah akibat ditetak penyamun di Bukit Jambul, Pulau Pinang, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa Wong Yin
Yin, 41, diserang dua lelaki ketika berjalan ke arah keretanya di
tempat letak kenderaan kompleks beli-belah terbabit. Menurut sumber, salah seorang daripada suspek menghayun parang dan terkena pada tangan kiri mangsa.
“Akibatnya, tangan kiri mangsa hampir putus manakala paha kanannya
mengalami luka yang agak serius. Penjenayah juga sempat merampas beg
silang mangsa yang mengandungi wang tunai milik majikannya sebanyak
RM12,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujarnya, penjenayah itu turut melarikan sebuah telefon bimbit jenama
Samsung S6 Edge dan beberapa dokumen peribadi milik mangsa dengan
menaiki motosikal.
“Mangsa kemudian dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian dan
dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru untuk rawatan,”
jelasnya.
Tambahnya, mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan dan
doktor berjaya menyambung semula tangannya yang hampir putus.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior
Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan
memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan. Jelas beliau, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan putus
urat jari kiri dan luka di paha kanan dipercayai terkena benda tajam.
“Usaha mengesan kedua-dua suspek yang terlibat dalam kes samun ini juga
sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun
Keseksaan atas kesalahan samun dan mendatangkan kecederaan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment