Monday, April 04, 2016
Entah Sampai Bila Wan Azizah Dan Anak-Anak Enggan Maafkan Mahathir?
EDITOR MENULIS...
3 APRIL 2016
Sehingga kini yang saya tahu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah
Wan Ismail dan puteri sulungnya, Nurul Izzah Anwar masih lagi tidak
menandatangani deklarasi Mahathir – Kit Siang. Walaupun sudah dipersoal
media, mereka masih enggan menandatangani deklarasi tersebut.
Persoalan tentang tandatangan dari isteri dan anak sulung Dato’ Seri
Anwar Ibrahim itu hanya dijawab oleh Rafizi Ramli dan Azmin Ali sahaja.
Itupun jawapan yang diberikan sangat berbelit-belit, tidak kukuh dan
sangat diragui kebenarannya.
Sebenarnya, saya amat berharap agar Wan Azizah dan seluruh anak
beranak Anwar menandatangani deklarasi yang kononnya ‘bersejarah’ itu.
Cuma bagi saya, ia belum benar-benar cukup bersejarah selagi ia tidak
ditandatangani oleh Anwar, Wan Azizah dan seluruh anak beranak mereka.
‘Kehilangan’ mereka pada hari pengisyhtiharan deklarasi itu sudah
cukup memulakan spekulasi. Antara yang awal tercetus ialah Wan Azizah
dan Nurul Izzah tidak sudi memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad atas apa
yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri itu pada Anwar.
Desas-desus mengatakan bahawa mereka enggan hadir di majlis itu
kerana Mahathir. Dakwaan itu diperkuatkan lagi apabila Wan Azizah dan
semua anak-anaknya dikatakan langsung tidak peduli untuk menandatangani
deklarasi berkenaan.
Jika benar dakwaan tersebut, agaknya sampai bilakah Wan Azizah dan
anak-anaknya enggan memaafkan Mahathir? Kesalahan dan dosa apakah yang
terlalu besar dilakukan Dr Mahathir sehingga tergamak Wan Azizah dan
anak-anak sanggup tidak pedulikan manusia paling ‘maksum’ di Malaysia
itu?
Jika benarlah ada salah dan silap Mahathir, saya harap Wan Azizah
dan anak-anak sudi-sudikanlah diri memaafkan beliau. Sebagai seorang
‘negarawan paling hebat dalam dunia’, setiap jasa beliau itu sepatutnya
sudah mampu untuk ‘membasuh luka’ dan ‘dosa’ yang beliau lakukan.
Lagipun, Mahathir sudah menjangkau usia lebih 90 tahun. Dalam
penghujung usia emas seperti itu, penulis yakin beliau juga mengharapkan
agar Wan Azizah dan anak-anak memaafkannya jika benar beliau ada
melakukan dosa pada keluarga Anwar.
Tidak perlulah rasanya diungkit lagi peristiwa 1998-1999 dulu.
Perkara itu sudah lama berlaku. Perkara yang sudah, usahlah
dikenang-kenang. Buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Lagipun,
ke mana Wan Azizah tuju dulu ketika ‘perang besar’ dengan Anwar jika
tidak pada Mahathir dan Tun Siti Hasmah?
Saya harap, ingatlah jasa-jasa Mahathir pada Anwar dulu. Beliau
kutip Anwar dari demonstrasi jalanan. Ditatang bagai minyak yang penuh
hingga berjaya memijak banyak ‘kepala’ yang jauh lebih layak dan senior
untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO.
Ingatlah pada jasa Mahathir yang ‘membutakan mata’ ketika berlangsung
pemilihan agung UMNO yang menyaksikan ‘kaedah dan cara’ Anwar mengatasi
Allahyarham Tum Ghafar Baba dengan ‘gerakan istimewa’.
Janganlah lupa bagaimana Mahathir ‘memekakkan telinga’ apabila
Ketua-Ketua Polis Negara memberitahu beliau tentang ‘rahsia gelap’ Anwar
dulu. Jika Mahathir tidak ‘pekakkan telinga’, takkanlah Wan Azizah akan
melihat Anwar tersenyum naik jadi Timbalan Perdana Menteri?
Lupakah Wan Azizah dan anak-anak ketika Mahathir ‘membisukan diri’
ketika ramai pemimpin-pemimpin UMNO marahkan Anwar dulu? Takkanlah lupa
bagaimana pula Mahathir ‘mendiamkan diri’ ketika Anwar ‘beli jiwa’
dengan menggunakan ‘pink form’ dulu?
Jadi, sekurang-kurangnya tandatanganlah deklarasi Mahathir-Kit Siang
itu. Azmin sudah tandatangan, Rafizi pun sudah. Apa salahnya jika Wan
Azizah dan semua anak-anak turunkan tandatangan tanda ‘sayangkan
Mahathir’, kan?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment