Monday, April 04, 2016
Khairul Idham Pelumba Malaysia Pertama Menang MotoGP Dunia
Khairul Idham Pawi mencipta sejarah apabila
menjadi pelumba Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori
Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina awal pagi ini.
Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia ini mencatat
masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio
Hondo.
Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella
Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull
KTM Ajo masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42’1.622
saat dan 42’5.512 saat.
Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7
SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam
kemalangan di selekoh akhir pusingan.
Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3 teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.
“Saya gembira dan bersukur dengan keputusan ini dan teruja dengan
kemenangan pertama ini. Saya tidak rasa tertekan. Saya mencuba yang
terbaik untuk fokus dan mendahului perlumbaan,” katanya.
Pelumba muda ini mencipta pusingan keempat terpantas dalam sesi
kelayakan pada Sabtu tetapi turun ke tangga ketujuh dalam grid permulaan
selepas menerima penalti kerana menunggang perlahan dalam sesi latihan
bebas pada Jumaat.
Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 poin untuk
berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan
lima poin selepas leg kedua kejohanan.
Litar Amerika di Texas Tengah, Amerika Syarikat akan menjadi leg ketiga dari 8 hingga 10 April ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment