Monday, April 04, 2016
Tanah Taman Manggis Murah Daripada Bangunan Usang?
Parti Gerakan negeri hari ini mendedahkan
bagaimana pemilik banglo, Phang Li Koon boleh membeli sebuah bangunan
usang berdekatan tanah Taman Manggis pada harga jauh lebih tinggi
daripada hartanah tersebut.
Setiausahanya, Oh Tong Keong berkata, bangunan usang tiga tingkat
yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari tanah Taman Manggis itu dibeli
dengan harga RM2.7 juta atau kira-kira RM910 sekaki persegi (0.09
semeter persegi).
Berbanding tanah Taman Manggis, tambahnya, hartanah itu dijual
Kerajaan DAP Pulau Pinang berharga RM11.5 juta atau hanya RM232 sekaki
persegi.
Menurut beliau, apa yang menimbulkan kehairanan adalah bangunan
usang yang kini terbiar itu dibeli Li Koon atas milikan persendirian
pada 2010 iaitu setahun sebelum Kuala Lumpur International Dental Centre
(KLIDC) membeli tanah Taman Manggis.
“Ini bermakna mereka mengetahui nilai pasaran hartanah di kawasan
Taman Manggis itu sebenarnya lebih tinggi, tetapi KLIDC sangat beruntung
kerana ditawarkan hartanah tersebut pada harga cukup rendah.
“Jika nilai tanah Taman Manggis itu adalah sama seperti nilai
bangunan usang yang dibeli Li Koon tersebut, maka harga yang sepatutnya
dibayar KLIDC untuk tanah berkenaan adalah RM45.3 juta, bukannya RM11.5
juta,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Kontroversi penjualan tanah Taman Manggis kembali dibangkitkan
selepas turut dikaitkan dengan isu pembelian banglo Ketua Menteri, Lim
Guan Eng di Jalan Pinhorn, Jelutong di sini, pada harga luar biasa
murah.
Banglo itu dibeli daripada Li Koon yang merupakan pemegang saham
dalam syarikat lain bersama-sama pemegang saham dalam KLIDC yang membeli
tanah Taman Manggis.
Menurut Tong Keong, pihaknya mempunyai bukti dalam bentuk dokumen
pindah milik tanah, bahagian atau pajakan yang menunjukkan tanah itu
dibeli Li Koon pada 20 Disember 2010.
Dalam pada itu, Tong Keong turut menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang
menyenaraikan semua syarikat yang turut mahu membeli tanah di Taman
Manggis tersebut.
Menurutnya, penduduk negeri ini berhak mengetahui berapa harga
ditawarkan syarikat lain menerusi tender terbuka itu sebelum Kerajaan
DAP Pulau Pinang memberikan hak milikan sementara kepada KLIDC.
“Kita berasa sangsi kerana mustahil syarikat lain yang menender untuk
membeli tanah itu tidak membuat kajian nilai pasaran hartanah semasa di
kawasan tersebut dan menawarkan harga lebih rendah daripada RM11 juta
seperti dibuat KLIDC.
“Jadi, kita menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang bersikap telus dan
senaraikan syarikat yang turut berminat membeli tanah ini serta berapa
harga ditawarkan mereka,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment