Monday, April 04, 2016

Krisis Air : Kerajaan PKR Selangor Perlu Minta Maaf Kepada Rakyat

HULU LANGAT : Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz berkata kerajaan negeri Selangor seharusnya memohon maaf kepada rakyat negeri itu kerana tindakan mereka yang mempolitikkan isu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Jelasnya, sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak mempolitikkan isu ini sudah pasti Langat 2 telahpun beroperasi kini.

“Rakyat negeri Selangor perlu sedar bahawa kelewatan projek tersebut bukanlah disebabkan oleh kerajaan pusat sebaliknya tindakan Kerajaan PKR Selangor yang melengah-lengahkan kelulusan projek itu.
Johan Abdul Aziz 
“Kita di pihak kerajaan pusat khususnya UMNO Selangor sejak dahulu lagi memberi penekanan kepada kerajaan negeri supaya tidak mempolitikkan isu air dengan membenarkan Langat 2 dibina dan disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun lalu.

“Oleh kerana mereka ghairah untuk berpolitik tanpa mengira sempadan dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa maka kerajaan negeri Selangor perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat,” ujarnya kepada media.

Tambah Johan, tindakan kerajaan negeri itu juga kini menyebabkan Selangor bakal kerugian RM800 juta bagi membina loji rawatan air di Labohan Dagang dan Semenyih bagi mengelakkan krisis bekalan air kritikal pada 2017 hingga 2019.

Pembinaan dua loji tersebut terpaksa dilakukan berikutan kelewatan pembinaan Projek Langat 2.

“Jika dulu kerajaan negeri Selangor tidak berdegil maka duit sebanyak ini pasti dapat diselamatkan.

“Kini mereka seakan mahu menyalahkan kerajaan pusat pula. Benar mereka telah memberi kelulusan terhadap beberapa permohonan dan dokumentasi Langat 2 pada Julai lalu, namun pembinaan projek itu sepatutnya sudah siap dan mula beroperasi tahun lalu sekiranya mereka memberi kerjasama kepada kerajaan pusat lebih awal lagi,” kata Johan lagi.

Isnin lalu Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan membina dua loji rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2, Hulu Langat dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat yang menelan belanja sebanyak RM800 juta sementara menanti siapnya projek Langat 2.

Pembinaan itu menurut Mohamed Azmin adalah bagi mengurangkan krisis kekurangan bekalan air terawat untuk keperluan rakyat dan industri negeri yang mana proses tender bagi kedua-dua projek itu masing-masing akan bermula pada Disember tahun ini dan Mac tahun depan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment