Monday, April 04, 2016
Krisis Air Selangor Meruncing 2017 Hingga 2019… Siapa Yang Bermain Politik?
KUALA LUMPUR : Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali
ditempelak berhubung kenyataannya yang menjangka Selangor bakal
menghadapi krisis bekalan air kritikal pada 2017 hingga 2019 kerana
masalah tersebut sudah dibangkitkan sebelum ini lagi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahdan berkata bukankah
perkara tersebut sudah lama dibangkitkan berkali-kali oleh pimpinan
Barisan Nasional (BN) Selangor termasuk Gabungan Prihatin Rakyat
Selangor (GPRS) yang mahukan jalan proaktif diambil dalam usaha
memastikan bekalan air untuk rakyat tidak terjejas.
Menurut
beliau bukankah juga sebelum ini pelbagai pihak menyarankan agar
kerajaan negeri segera memuktamadkan perjanjian dengan syarikat konsesi
air bagi menyiapkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan
pelbagai proses berkaitan yang lain.
“Ini bukan perkara baru. Pada 2012 dan 2013 kalau tidak silap GPRS
pernah ketengahkan isu ini. Kita bawa dengan fakta dan pelbagai kajian
berhubung jangkaan masalah air yang akan berlaku seperti mana yang
diperkatakan itu.
“Namun mereka melihatnya sebagai kita mempolitikkan isu berkenaan dan
memandang sebelah mata apa yang kita utarakan itu. Hari ini baru mereka
nak memperkatakan soal berkenaan sedangkan kita sudah lama jangka soal
tersebut.
“Jadi siapa yang bermain politik dalam soal ini apabila cuba
menghalakan soal ini kepada pusat dengan pelbagai alasan. Janganlah
sombong dan bongkak kerana hari ini Datuk Seri Azmin sendiri mengakui
masalah berkenaan dijangka berlaku pada 2017 hingga 2019,” katanya
kepada media, di sini, hari ini.
Sebelum ini dilaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali menjangka Selangor bakal menghadapi krisis bekalan air
kritikal pada 2017 hingga 2019.
Beliau berkata, ini disebabkan berlakunya kelewatan dalam pelaksanaan Projek Langat 2.
Bagi Penyelaras ADUN BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Azmin Ali
tidak harus menuding jari kepada Kerajaan Pusat berhubung kelewatan
Projek Langat 2 menyebabkan Selangor diramal menghadapi bekalan air
kritikal pada 2017 hingga 2019.
Beliau berkata Azmin seharusnya tidak membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti itu.
Sohaimi seterusnya menegaskan perkara berkenaan seharusnya menjadi
pengajaran dan turut mengingatkan bahawa bukan semua perkara dan semua
benda boleh dipolitikkan semata-mata kerana akhirnya yang akan
menanggung adalah rakyat.
Tegasnya dalam soal tersebut tidak perlulah Azmin berdolak dalih
khususnya terus bermain politik dengan menyalahkan pihak lain sebaliknya
segera mencari jalan penyelesaian agar rakyat tidak terjejas dengan
perkara berkenaan.
“Kita bawa dengan fakta dan kajian ditolaknya…kita katakan itu mereka
pula kata begini. Akhirnya hari ini apa yang kita jangka benar-benar
bakal berlaku. Kenalah bertindak untuk ke depan secara komprehensif dan
bukannya dipenuhi dengan warna-warni politik yang memualkan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment