Monday, April 04, 2016
Siri Jelajah Selamatkan Malaysia Caca Merba… Siapa Yang Mahu Diselamatkan?
KUALA LUMPUR : Siri Jelajah Selamatkan Malaysia yang disertai
oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta barisan parti
pembangkang lain ternyata hanyalah menyerlahkan kecelaruan yang cukup
ketara sesama mereka jauh sekali untuk menyelamatkan negara.
Bagi Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Shamsol Bari Jamali kempen
tersebut lebih kepada agenda peribadi semata-mata dan slogan “Selamatkan
Malaysia” hanya retorik untuk memancing sokongan rakyat.
Menurut
beliau jelas hari ini apa yang dilaksanakan itu lebih menjurus kepada
soal individu yang mana masing-masing hanya mahu melontarkan agenda
peribadi masing-masing sekaligus menimbulkan persoalan kempen tersebut
menyelamatkan siapa yang sebenarnya.
“Sebenarnya masing-masing hanya mahu menyelamatkan diri mereka
sahaja. PKR dengan agenda mereka dan Dap pula dengan agenda mereka
kerana hari ini Setiausaha Agungnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang
terpalit dengan kontroversi pembelian rumah banglo.
“Dan mungkin juga Amanah tumpang sekaki untuk menyelamatkan partinya
sendiri menerusi siri jelajah tersebut kerana diharapkan dapat
melonjakkan populariti mereka dan Mahathir pula dengan agendanya,”
katanya kepada media, di sini, hari ini.
Jurang perbezaan Tun Mahathir Mohamad dan pembangkang dikatakan
semakin terserlah apabila mereka berkongsi pentas dalam siri jelajah
tersebut.
Memetik laporan media, ketika beberapa pemimpin pembangkang menuntut
pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, Mahathir hanya
mengulangi tuntutan mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.
“Kita rakyat Malaysia hendaklah tandatangan Deklarasi Rakyat untuk
singkirkan Najib, saya harap kita semua akan tandatangan deklarasi
kerana kita tidak takut, kita kena tandatangan lebih banyak lebih baik, ”
kata beliau pada siri jelajah Selamatkan Malaysia di padang Majlis
Perbandaran Ampang Jaya baru-baru ini.
Tun Mahathir berkongsi pentas bersama dengan Presiden Parti Amanah
Negara (PAN) Mohamad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan beberapa lagi
pemimpin Pakatan Harapan yang mahu Anwar dibebaskan.
Mengulas lebih lanjut Shamsol Bari yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semarang seterusnya menambah kempen jelajah mereka
sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menilai
siapakah watak dan siapakah diri mereka yang sebenarnya.
Kata beliau lagi matlamat yang bercelaru dan hala tuju kempen itu
sendiri yang caca merba diharap dapat menjelaskan kepada masyarakat umum
bagaimanakah taktik politik pembangkang dalam usaha mendapatkan
sokongan.
“Insya Allah kita di Johor akan berusaha sebaik mungkin. Mereka nak
datang jelajah sini itu adalah hak mereka dan kita menyerahkan
sepenuhnya kepada rakyat dalam membuat penilaian kerana di negeri ini
pelbagai usaha dan perancangan serta pelaksanaan telah dibuat oleh
kerajaan negeri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment