Thursday, April 07, 2016
MB Pahang Bersama 1,000 Jemaah Tunai Solat Istisqa Mohon Hujan
KUANTAN : Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob malam tadi
menyertai 1,000 jemaah menunaikan solat sunat istisqa bagi memohon hujan
di Masjid Tepian Putra di sini.
Solat sunat dua rakaat itu diadakan ekoran cuaca panas yang melanda
negara sejak beberapa bulan lalu, diimamkan oleh Nuri Ali Arbain, bekas
peserta program dakwah TV, Imam Muda.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan
Tugas-tugas Khas negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar
Shamsudin, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan Datuk Fadzilla
Salleh.
Turut diadakan selepas solat sunat itu ialah bacaan Yassin dan majlis
tahlil untuk anggota keluarga Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin
Ab Ghani yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 4 Mac
lalu.
Kakak Sharifuddin, Rosmani, 65, meninggal dunia selepas kereta yang
dipandu anaknya Azhar Abdul Rahim, 44, terlibat kemalangan dengan treler
di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah Selatan dekat Jelapang, Ipoh.
Turut meninggal dunia ialah anak Azhar iaitu Aizat Azhar, 18, dan Danial Azhar, 13.
Semasa itu, mereka dalam perjalanan ke Shah Alam bagi mengambil
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) salah seorang mangsa yang
belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment