Thursday, April 07, 2016

‘Nuan Nuan’ Beri Rezeki Guru Menang PERODUA Myvi

menang nama anak panda
KUALA LUMPUR : Selepas bersaing dengan 22, 830 peserta dalam Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi yang berlangsung dari 17 November hingga 17 Disember tahun lepas, tuah akhirnya berpihak kepada guru Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak, Oh Teik Peng selepas beliau diumum sebagai pemenang utama pertandingan tersebut, hari ini.

Teik Peng, memberi cadangan nama anak panda gergasi yang dilahirkan pada 18 Ogos tahun lepas dengan nama ‘Nuan Nuan’, yang membawa maksud ramah mesra dan baik hati, sekaligus melayakkan beliau membawa pulang hadiah utama sebuah kereta PERODUA Myvi bernilai RM50,000.

Menurut Teik Peng, idea untuk menamakan anak panda pertama Malaysia itu dengan nama ‘Nuan Nuan’ tercetus selepas beliau membuat kajian dan semakan mengenai sejarah hubungan antara kerajaan Malaysia dan China yang telah terjalin selama 40 tahun lalu.

“Saya melihat hubungan antara kedua-dua negara begitu ‘friendly’, jadi saya mengambil keputusan untuk menamakan anak panda sebagai Nuan Nuan. (Sekaligus) sesuai dengan hubungan diplomatik Malaysia-China,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman nama anak panda di Zoo Negara, di sini.

Pengumuman nama anak panda gergasi diumum Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sri Dr Azimuddin Bahari; Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Ma jia; dan Kedutaan Republik Rakyat China.

Teik Peng yang lengkap memakai baju batik turut menyatakan bahawa beliau tidak menjangkakan akan memenangi pertandingan tersebut.

Daripada 22,830 penyertaan, hanya sembilan nama dipilih oleh penganjur melalui satu saringan yang telus dan sistematik, sebelum dihantar kepada Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) untuk persetujuan .

Selain keunikan nama anak panda yang diberikan, kemenangan Teik Peng juga dipilih kerana berjaya melengkapkan slogan yang ditetapkan iaitu “Bersama Pelihara Hidupan Liar, Bersama Memelihara Alam Sekitar”.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga yang masing-masing membawa pulang sebuah motosikal Demak dimenangi oleh Chuah Soon Koun dan Azzulaikha Che Mohamad, dengan cadangan nama anak panda ‘Xi Li’ (Kegembiraan dan Cantik) dan ‘Yi Yi’ (Persahabatan).

Tempat keempat pula dimenangi oleh Cheah Bee Chin, yang memberi nama sebagai ‘Si En’ (Kenangan dan Kesyukuran), membawa pulang satu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment