Monday, April 04, 2016

Ramai Yang "Mati' Sejak 1 Tahun GST Dilaksananakan?

EDITOR MENULIS...
4 APRIL 2016
Pada 1 April lalu, segelintir rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan agenda politik dan propaganda parti pembangkang mengadakan demonstrasi jalanan membantah GST, bersempena ulangtahun pertama perlaksanaan sistem cukai baru itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan individu asal yang mencadangkan GST pun, turut menyertai demonstrasi itu dengan kata-kata hikmat kononnya dia 'menangguhkan perlaksanaan' sistem cukai berkenaan.

Jika GST tidak baik untuk negara dan rakyat, mengapa 'negarawan paling genius dalam cakerawala' itu cadang untuk dilaksanakan agaknya? Baik tidak cadangkan terus. Atau GST sebenarnya memang baik, tapi sengaja dinafikan untuk menburuk-burukkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak?

Selain itu, beberapa kelompok kecil turut kelihatan mengadakan 'flashmob' dan tunjuk perasaan walaupun bilangan mereka hanyalah sekitar 8 hingga 10 orang saja di tepi jalan, sekali sekala mengganggu arus trafik.

Saya amat memandang serius tentang GST yang dikatakan saban hari telah memberi tekanan dan menyusahkan lebih 30 juta rakyat Malaysia. Khabarnya, ramai yang sudah 'terkorban' gara-gara sistem cukai tersebut.

Jika dirujuk kepada 'statistik' yang dikeluarkan oleh negara 'antah berantah' yang mungkin wujud dalam kepada puak-puak berkenaan, sudah hampir 10 juta rakyat telah mati kebuluran gara-gara tidak mampu membeli makanan dan keperluan hidup mereka.

Dikatakan juga bahawa seramai 15 juta dari rakyat 'antah berantah' itu juga telah kurus kering, compang-camping tidak mampu membeli pakaian yang sempurna dan terpaksa hidup sebagai gelandangan di tepi kaki lima gara-gara tidak mampu menyewa atau membeli rumah.

Dikatakan hanya 5 juta saja baki dari 30 rakyat Malaysia kini yang masih mampu bertahan untuk hidup dari 'merana' terkena tempias GST.

Mungkin kerana itu SOGO di Jalan Tunku Abdul Rahman sudah 'tutup' kerana ketiadaan pelanggan. Mungkin kerana itu Tudung Fareedah 'tidak laku' dan mungkin kerana GST maka banyak hotel-hotel bertaraf 5 bintang 'kosong tidak berpenghuni' ketika musim cuti sekolah baru-baru ini.

GST sebenarnya hanyalah alat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Ia dilakukan hanya semata-mata untuk propaganda politik untuk mempermainkan minda rakyat yang sedang menjadi mangsa para peniaga yang tidak beretika di negara kita.

Tanyalah pada mana-mana pakar ekonomi dunia sekali pun, GST sememangnya terbukti sangat baik dan sistem percukaian yang amat berkesan untuk mencegah dari peniaga yang sebelum ini sering lari dari bayar cukai.

Sistem cukai Mahathir sebelum ini, sebenarnya memberi peluang pada peniaga untuk lari membayar cukai pada kerajaan. Kerajaan rugi berbilion dari tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Malah pengguna sendiri dikenakan cukai oleh peniaga di atas nama kerajaan, tapi cukai yang dikenakan itu tidak pula dibayar pada pihak Kerajaan! Itu cara cukai Mahathir? Padanlah anak-anaknya kaya-raya...

GST sepatutnya mengurangkan harga barangan di pasaran. Namun disebabkan 'kebebalan' segelintir rakyat yang enggan menggunakan kuasa pengguna, diputar belit pula oleh mereka yang berkepentingan politik, ditambah pula dengan peniaga-peniaga yang tamak, maka harga barang tidak turun seperti yang sepatutnya.

Itulah hakikat yang berlaku tentang GST di Malaysia. Tapi hakikat itu walau berbuih mulut dijelaskan, segelintir mereka itu tidak akan mengakui kebenaran tersebut dan sebaliknya berbohong pada rakyat. Mereka patutnya marahkan peniaga yang tamak, bukan pihak kerajaan.

Namun begitulah budaya yang disemai puak-puak yang mahu melihat politik negara tidak stabil. Bila politik tidak stabil, ia akan memberi kesan negatif pada pertumbuhan ekonomi negara. Hasilnya, mereka akan menyalahkan Najib. Hatta, nama Datin Seri Rosmah yang tidak terlibat apa-apa pun dikaitkan sama? Itulah kegilaan politik di Malaysia yang terkini.

Saya tidak tahu sampai bila puak-puak tersebut akan teruskan kegilaan. Namun saya sudah awal-awal lagi berpesan pada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai supaya rajin-rajinkan diri membaca surah Al-Kahfi. Semoga kita semua terhindar dari fitnah dan unsur negatif budaya jelek di akhir zaman pimpinan Mahathir.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment