Thursday, May 05, 2016

DAP Sepatutnya 'Selamatkan' Rakyat, Bukan Minta 'Diselamatkan' - MP BN

SHAH ALAM : DAP sepatutnya 'menyelamatkan' rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, bukannya penduduk negeri berkenaan yang perlu berbuat demikian terhadap parti itu.

Itu penegasan Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah selepas ditanya perihal modus operandi kempen pilihan raya DAP yang kerap kali cuba meraih simpati pengundi.

"Kita kena faham yang kita nak selamatkan ialah rakyat bukannya DAP. Sepatutnya DAP membela rakyat, bukannya meminta rakyat membela DAP," katanya kepada Antarapos menerusi kiriman aplikasi WhatsApp.

Malah beliau tidak menolak peranan yang dibawa Perdana Menteri bersama Ketua Menteri dalam memelihara rakyat Sarawak menyebabkan pembangkang tergugat.

"Ketandusan isu dan aura PM serta KM Sarawak yang semakin kuat menambat hati serta disokong rakyat sebenarnya amat mengusar serta membimbangkan pembangkang.

"Tahap sokongan BN semakin tinggi apatah lagi PM secara langsung turun padang bertemu dan menyelesaikan masalah rakyat," ujarnya.

Terdahulu Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyeru pengundi untuk menyelamatkan parti itu yang dijangka mungkin kehilangan sejumlah kerusi yang ditandinginya.

Ini bukan kali pertama Kit Siang menyeru pengundi untuk menyelamatkan DAP.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa parti dominasi Cina itu akur DAP tidak mampu menafikan BN bakal menang besar, majoriti dua pertiga pada pilihan raya kali ini.

Lantaran itu Kit Siang merayu kepada pengundi untuk menyelamatkan DAP demi menyelamatkan negeri mereka.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata percaturan politik DAP makin tidak disenangi pengundi.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila ada penduduk yang tampil dan mengadu bahawa mereka kesal DAP dan PKR gagal membuktikan apa-apa sebaliknya sering memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN).

"Sebenarnya ahli DAP pun sudah kecewa dgn DAP, buktinya penduduk Kampung Api-Api sudah kecewa dengan prestasi DAP dan PKR yang selama ini 'cakap tak serupa bikin'.

"Mereka hanya tahu untuk memburuk-burukkan calon BN dan menggunakan isu besar untuk menentang BN, namun tidak tahu untuk turun padang dan membantu rakyat," katanya.

Justeru beliau berharap, pengundi tidak terpengaruh dengan taktik murahan ini tetapi 'menghukum' mereka dengan memberi kekalahan kepada pembangkang.

"Saya harap ia tidak akan mempengaruhi rakyat pada kali ini kerana tiada apa faedah menyokong DAP apatah lagi banyak isu rakyat tidak pun diselesaikan oleh DAP.

"Oleh itu, rakyat mesti menghukum DAP bukan lagi memberikan ruang untuk menyelamatkan DAP. Jangan perjudikan masa depan untuk membela parti yang hanya bermain politik tanpa memberikan tumpuan membela rakyat," tegasnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment