Thursday, May 05, 2016

Kenyataan Hadi 'Retorik Politik Yang Keterlaluan Dan Melampau' - Guan Eng

SHAH ALAM : Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak bersetuju Sarawak ditadbir bukan Bumiputera khususnya DAP, disifatkan sebagai 'retorik politik yang keterlaluan dan melampau'.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kenyataan seperti itu jelas menunjukkan bahawa Hadi adalah anti-bukan Islam dan ia sesuatu yang 'menjelikkan' golongan bumiputera bukan Islam, yang majoriti mereka adalah penduduk di Sarawak.

"Mengapa bumiputera bukan Islam hilang kelayakan untuk jawatan ketua menteri Sarawak semata-mata kerana mereka bukan beragama Islam?" katanya yang dipetik Malaysiakini.

"Jelas, bumiputera bukan Islam lebih terbuka dan mempunyai semangat Malaysia daripada Hadi apabila mereka boleh menerima bumiputera Islam seperti Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri," kata Lim.

Lim juga menafikan pernah meminta bahawa ketua menteri Sarawak mesti terdiri daripada masyarakat Cina.

Justeru katanya, kenyataan Hadi itu menimbulkan rasa hairan seolah-olah pemimpin itu menjadikan isu ketua menteri Sarawak Cina untuk menakutkan pengundi.

"Bagaimanapun, tidak ada sebab mengapa bumiputera, sama ada Islam atau bukan Islam, tidak boleh jadi ketua menteri Sarawak," katanya.

"DAP menerima realiti bahawa perdana menteri Malaysia mestilah berbangsa Melayu untuk mencerminkan hakikat bahawa majoriti penduduk adalah orang Melayu.

"Mengapa tidak boleh menerima bahawa bumiputera bukan Islam juga boleh menjadi ketua menteri Sarawak, sedangkan mereka (bumiputera bukan Islam) membentuk majoriti penduduk?" ujarnya lagi.

Terdahulu, Hadi menyatakan beliau tidak bersetuju sekiranya pemimpin bukan Bumiputera, khususnya DAP untuk menerajui Sarawak.

Ujar Hadi, walaupun Sarawak mempunyai pemimpin dari latar belakang yang pelbagai namun ia perlu dipimpin oleh seorang yang beragama Islam dan bumiputera bagi memastikan pentadbiran dijalankan mengkut prinsip-prinsip Islam. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment