Monday, June 06, 2016
Fahami Dulu Apa Rang Undang-Undang Yang Dibentangkan Sebelum Buat Bantahan, Ugutan
KUALA LUMPUR : Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk
Dr. Fathul Bari Mat Jaya menegaskan bahawa Rang Undang-Undang yang
dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi bukanlah
undang-undang hudud, tetapi ianya adalah cadangan bagi memperkasakan
undang-undang syariah yang sedia ada di negara ini.
Beliau juga menasihati pemimpin parti-parti komponen khususnya MCA
dan MIC agar memahami terlebih dulu rang Undang-Undang yang dibentangkan
oleh Datuk Seri Haji Hadi sebelum membuat pelbagai andaian mahu pun
tindakan.
“Saya
kira ramai yang keliru sebenarnya tentang pembentangan rang
udang-undang tersebut dengan menyangka bahawa ianya adalah pembentangan
undang-undang hudud. Apatah lagi, ada yang membuat bantahan kerana
kekeliruan tersebut dan bagi saya, bantahan tersebut adalah kurang
praktikal kerana bantahan tersebut dibuat kerana mereka keliru tentang
isu sebenar.
“Buktinya mereka keliru apabila bantahan yang dilakukan itu bercakap
soal hudud. Di sini ingin saya jelaskan bahawa rang undang-undang yang
dibentangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak melibatkan lagi
soal hudud. Beliau tidak menyentuh soal hudud tetapi hanya menyentuh
tentang akta 355 yang mengekang pemerkasaan mahkamah syariah dari sudut
pelaksanaan hukumannya.
“Pembentangan ini adalah satu cadangan untuk menambah baik hukuman
yang sedia ada dan bukannya mencadangkan hukuman baru. Sebagai
contohnya, hukuman tiga tahun penjara, enam kali sebatan dan denda,
hukuman ini tidak boleh ditingkatkan atau ditambah baik kerana kekangan
akta 355 ini,”tegasnya kepada media dalam satu temubual eksklusif
di sini hari ini.
Beliau seterusnya memberikan contoh sekiranya seseorang beragama
Islam ditangkap atas kesalahan tertentu, contohnya kesalahan berzina.
Pesalah itu akan dihukum dengan akta yang sedia ada jika didapati
bersalah buat kali pertama.
“Apabila ditangkap buat kali kedua, pesalah itu akan dikenakan
hukuman yang sama dengan kadar yang sama. Begitu juga untuk kali ketiga.
Sedangkan dalam mahkamah persekutuan, apabila seorang pesalah ditangkap
buat kali pertama, ada kemungkinan dia akan dimaafkan atau hukumannya
lebih ringan. Tetapi kalau kali kedua ditangkap dengan kesalahan yang
sama, maka hukuman pesalah itu akan ditingkatkan lagi. Kalau kali ketiga
ditangkap, hukumannya mungkin bertambah berat. Itu realitinya.
“Tetapi tidak ada kuasa seperti itu di mahkamah syariah. Jadi antara
objektif pembentangan rang undang-undang ini adalah untuk memberi ruang
kepada mahkamah syariah untuk meningkatkan kadar hukuman yang sedia
ada. Itulah tujuan pembentangan rang undang-undang tersebut agar ianya
dapat dipinda,” jelasnya lagi.
Justeru itu mnenurut beliau, adalah sesuatu yang agak mengejutkan
apabila parti-parti komponen di dalam BN seperti MCA, MIC dan lain-lain
yang mana sepatutnya memahami apa rang undang-undang yang dibentangkan
itu turut membantah pembentangan rang undang-undang tersebut.
“Kalau pihak pembangkang seperti Dap yang membantah, maka kita faham
kerana Dap tidak pernah bersetuju dengan sebarang agenda Islam di negara
ini. Tetapi apa yang mengejutkan ialah parti-parti komponen dalam BN
sendiri yang membantah, yang mana sepatutnya mereka ini memahami apa
rang undang-undang yang dibentangkan itu.
“Tetapi nampaknya apa yang disebut dalam kenyataan mereka dalam
bantahan tersebut menampakkan kedangkalan dan ketidafahaman mereka
terhadap apa yang dibentangkan. Jadi saya cadangkan kepada
pemimpin-pemimpin parti komponen BN agar bertemu, bertanya dan
berbincang apa realiti sebenar sebelum mereka membuat ugutan-ugutan yang
tidak munasabah seolah-olah menolak sistem demokrasi yang sedia ada.
“Janganlah kita bersikap seperti pihak pembangkang yang membuat
tuduhan dan bantahan tanpa berdasarkan ilmu dan fakta sebenar, serta
membuat ugutan kepada Perdana Menteri. Jadi saya berharap agar
kepimpinan parti komponen, sama ada MCA, MIC dan yang terlibat dalam
ugutan ini menarik semula kenyataan mereka dan bertemu dan berbincang
untuk mendapatkan penjelasan yang sebenarnya,”ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment