Wednesday, June 08, 2016
‘Bulan Ramadhan Pun Nizar Nak Menipu’, Kata Zambry
KUALA KANGSAR : Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari
ini mengecam tindakan Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohammad
Nizar Jamaluddin yang berterusan melempar tuduhan tidak berasas
terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau turut menggelar Mohammad Nizar sebagai ‘penipu bersiri’ apabila
bekas menteri besar Perak itu dilihat tanpa henti memfitnah dan
membangkitkan isu tertentu meskipun telah diperjelaskan kerajaan sebelum
ini.
“Saya amati perangai dia tidak habis-habis buat serangan. Bayangkan
bulan Ramadan pun dia nak menipu,” kata Zambry selepas mempengerusikan
mesyuarat penyelarasan jentera PRK Kuala Kangsar hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mohammad Nizar yang
mengatakan beliau memberi tanah kepada kroni tertentu dalam ceramah umum
parti itu di Kampung Sayong Lembah, semalam.
Mohammad Nizar yang dipetik dalam media sosial turut berkata: “Allah
mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN
menerusi PRK Kuala Kangsar”.
Mengenai dakwaan kerajaan negeri memberi tanah seluas 45,324 hektar
kepada pihak tertentu, Zambry berkata, perkara itu telahpun
diperjelaskan sebelum ini termasuk pada sidang DUN Perak.
“Pembangkang ini telah kekeringan dan habis modal, sebab itu akan buat pembohongan,” katanya.
Zambry meminta pengundi di Parlimen Kuala Kangsar supaya tidak
terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan parti pembangkang.
PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan
kematian ahli Parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad
dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ia bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas.
Untuk rekod, Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar
yang terdiri daripada 22,496 pengundi Melayu, Cina (7,757), India
(2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli
(330).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment