Wednesday, June 08, 2016

Dakap PAN… Pas Makin “Panas Punggung” Dek Permainan Kotor Di Selangor

SUNGAI BESAR : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan berkata, tindakan Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang dilihat menyebelahi Parti Amanah Negara (PAN) dalam pilihanraya kecil Sungai Besar sudah pasti menimbulkan tandatanya berhubung kedudukan Pas di dalam kerajaan negeri Selangor selepas ini.

Menurut beliau, umum sudah mengetahu bahawa PKR mempunyai masalah dengan Pas pusat berhubung isu calon di PRK Sungai Besar apabila Pas tetap berkeras mahu meletakkan calon di PRK tersebut sedangkan Azmin mahukan wakil dari PAN untuk bertanding di kawasan tersebut.
Azmin Peluk Mat Sabu 
“Konflik antara PRK dan Pas pusat ini memang sudah diketahui umum. Sebelum ini, kita tahu Azmin telah memberi kata dua kepada Pas sehinggakan mahu exco Pas meletakkan jawatan di dalam kerajaan negeri jika Pas berdegil untuk meletakkan calon bertanding di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, seperti biasa Azmin menafikan perkara tersebut.

“Dan pada hari penamaan calon di PRK Sungai Besar baru-baru ini, Azmin dilihat turut bersama turun dan duduk semeja bersama Presiden PAN, Mat Sabu di mana kita lihat situasi itu menggambarkan seolah-olah Azmin memihak kepada PAN dalam PRK di Sungai Besar ini.

“Sudah tentu perkara ini akan menimbulkan persoalan apakah nasib anggota Pas yang menjadi exco kerajaan negeri Selangor selepas ini. Apatah lagi hari ini sudah ada desas desus yang yang mahu exco Pas melepaskan jawatan mereka sekiranya undi calon PAN melebihi undi calon Pas dalam PRK  di Sungai Besar kali ini,” ujarnya kepada media di sini hari ini.

Beliau juga menjangkakan bahawa konflik antara PKR dan Pas akan terus berlarutan jika Pas tewas di dalam PRK Sungai Besar kali ini.

“Sekiranya Pas menang, mungkin tiga orang exco Pas itu akan terus kekal di dalam kerajaan negeri namun jika Pas tewas maka saya berkeyakinan akan  wujudnya desakan dan usaha daripada kepimpinan PKR untuk menyingkirkan Pas daripada terus berada di dalam kerajaan negeri Selangor.

“Ini ditambah pula dengan adanya suara-suara perwakilan di dalam muktamar Pas baru-baru ini yang meminta agar parti tersebut mengkaji semula hubungan dengan PKR di mana ianya jelas bahawa sudah wujud rasa tidak puas hati di kalangan ahli akar umbi Pas dengan layanan yang diberikan oleh PKR terhadap parti tersebut,” tegasnya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat, khususnya pengundi di Sungai Besar agar tidak memperjudikan nasib mereka dengan memilih parti yang kini berada di dalam keadaan tidak stabil disebabkan konflik dalaman yang parah sehingga menyebabkan mereka berpecah belah.

“Kita lihat pembangkang, biarpun mereka cuba untuk memperlihatkan pada rakyat bahawa mereka ini bersatu, sedangkan hakikatnya mereka tidak pernah bersatu dan susah untuk bersatu. PKR dengan konflik dalaman di mana presiden dan timbalan presiden yang tidak sehaluan.

“Pas pula telah berpecah dua sehingga wujudnya PAN. Manakala PAN pula dilihat sebagai kuda tunggangan Dap dan dijadikan umpan untuk menarik undi orang-orang Melayu. Dan Dap pula dengan ideologi rasis dan cauvinis  yang seringkali menjadikan isu-isu sensitif dan perkauman sebagai modal politik mereka dan juga menjadi punca kepada perpecahan Pakatan Rakyat.

“Ini amat berbeza sekali dengan BN yang mempunyai 14 buah parti di dalamnya dan sehingga ke hari ini, masih lagi stabil dari sudut hubungan dan juga matlamat bersama untuk membangunkan negara. Jadi, biarpun BN bukanlah sebuah parti yang sempurna, namun BN jauh lebih baik jika mahu dibandingkan dengan parti pembangkang yang ada di negara ini,” akhiri beliau.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment