Wednesday, June 15, 2016

Dua Pegawai Kastam Ditahan Gara-Gara Minta Rasuah

KANGAR : Dua pegawai Jabatan Kastam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis selepas disyaki meminta rasuah daripada seorang pemilik bot di Kuala Perlis pada Isnin.

Pengarahnya Yaakob Angah berkata seorang lelaki awam turut ditahan dirumahnya di Kuala Perlis kerana disyaki bersubahat dengan pegawai kastam berkenaan pada Selasa.

Menurutnya pegawai-pegawai kastam berumur dalam lingkungan 40-an itu didakwa meminta RM4,000 daripada pemilik bot terbabit supaya dilepaskan daripada didakwa membawa stok diesel berlebihan untuk diseludup ke negara jiran pada Ahad lepas.

"Pasukan SPRM bagaimanapun menemui wang RM3,000 sahaja daripada mereka semasa diberkas petang Isnin," kata Yaakop dalam kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua pegawai kastam itu ditahan reman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala lelaki yang bersubahat pula disiasat mengikut Seksyen 28 akta sama.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment