Wednesday, June 08, 2016

Mampukah PAN Curi Undi PAS Di #PRKKualaKangsar

EDITOR MENULIS...
8 JUN 2016
buruk-muka-mat-sabu-hilang-deposit-9-kerusi (1)
Mendengar cerita dari ramai kawan-kawan yang hadir membuat liputan di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar, saya diberitahu tentang PAN yang giat menghasut ahli dan penyokong PAS supaya memberi undi kepada PAN pada 18 Jun nanti.

Menurut mereka, hujah PAN adalah PAS merupakan parti yang ‘keseorangan’ tanpa sekutu dan mustahil untuk menang pilihan raya, apatah lagi untuk menguasai majoriti kerusi-kerusi parlimen seperti mereka.

Maka kerana itulah PAN mahu ahli dan penyokong PAS memberi undi kepada calon mereka di hari mengundi pada PRK Kuala Kangsar nanti.

Saya ketawa mendengar cerita itu. Taktik yang sudah dijangka awal. PAN sasarkan ahli dan penyokong PAS untuk beri undi pada mereka. Dalam erti kata lain, cuba mencuri undi dari bekas parti mereka sendiri. Suatu yang sudah ada dalam bacaan awal…

Maka tepatlah tindakan mereka untuk keluar dari PAS. Bagi mereka yang berjuang mengejar kuasa dan jawatan, maka bolehlah keluar dari PAS dan menyertai PAN. Maka tidak hairan ada di kalangan ahli dan pemimpin PAS yang terpengaruh dan ikut punggung Mat Sabu.

PAS sejak azalinya memang ditubuhkan bukan untuk mengejar kuasa dan jawatan. Ruh dan pemangkin awal tertubuhnya PAS dulu adalah untuk mengejar redha Allah, bukan kuasa. 

Matlamatnya di akhirat kelak, bukan di dunia. Di dunia ini hanya sementara saja.

Bagi mereka yang kenal PAS, mereka akan akui kebenaran tersebut. Jika diberi kuasa, itu hanyalah bonus sahaja dari Allah. Jika Allah tidak redha, maka akan berlakulah seperti di Perak dan PAS hanyalah ‘boneka’ sebelum ditarik balik kurnia kuasanya.

Itulah beza antara PAS dan PAN. PAS tidak kejar kuasa dan PAN mengejar kuasa. Ia adalah kerana PAS sedar bahawa kuasa itu milik Allah dan Dia yang tentukan kepada siapa kuasa itu wajar diberi. Itu kehendak Allah, menang atau kalah pilihan raya hanyalah mekanisma faktor penyebab sahaja.

Mungkin benar Mat Sabu lebih 30 tahun bersama PAS. Namun biar 50 tahun pun bersama parti itu, namun tidak benar-benar memahami ruh perjuangan PAS, tidak guna juga. Mungkin dia gagal memahami apa yang pernah dipesan arwah Ustaz Fadhil Noor dan arwah Nik Aziz dulu.

Mungkin juga dia hanya faham yang tersurat saja. Namun untuk memahami yang tersirat, ia memerlukan kefahaman dan ilmu Islam yang agak tinggi untuk menjiwai roh semangat perjuangan itu. Padanlah ramai golongan profesional yang kurang berlatar belakangkan agama dalam PAS kemaruk menyertai PAN…

Soalnya kini, mampukah PAN mencuri undi PAS di Kuala Kangsar? Mampukah pula PAS mempertahankan undi mereka dari dicuri PAN di sana nanti?

Pada pandangan saya, PAS sewajarnya usah hiraukan BN pada PRK Kuala Kangsar. Mungkin benar PAS tidak mampu untuk menang di parlimen itu kali ini. Namun sekurang-kurangnya, PAS perlu pastikan undinya tidak menyusut dan tidak dicuri PAN.

Adalah ‘bonus’ kepada PAS sekiranya parti itu berjaya memastikan PAN hilang deposit di Kuala Kangsar nanti. Jika pendekatannya betul dan menggunakan isu yang tepat, mungkin PAS mampu menarik undi dari pengundi DAP dan PKR yang semakin keliru dengan Pakatan Harapan.

Terserahlah untuk menerima cadangan saya ini atau tidak. Namun itulah yang berlaku di Kuala Kangsar. Bila ‘berperang’, berpijaklah pada realiti sebenar. Jangan terlalu terikut-ikut dengan retorik Pakatan Harapan. Tak ke mana pun akhirnya nanti…

Disediakan oleh : 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Isamail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment