Monday, June 06, 2016

#PRKKualaKangsar : PAS Vs PAN, Bagaikan Langit Dengan Bumi

EDITOR MENULIS...
6 JUN 2016
'Bagaikan langit dengan bumi', itulah ungkapan yang paling sesuai saya ungkapkan melihat perbezaan di antara hampir 3,000 penyokong PsbpAS berbanding kurang dari 300 penyokong Parti Amanah Negara (PAN) yang hadir pada penamaan calon di Pilihan Raya Kuala Kangsar semalam.

Saya faham bahawa jumlah berkenaan tidak wajar diukur untuk menafikan peluang kemenangan di antara dua parti untuk PRK nanti, ekoran rata-ratanya yang hadir itu bukan pengundi di Parlimen Kuala Kangsar dan orang luar.

Namun jika dilihat dari sudut sokongan moral dan kejituan semangat perjuangan kepartian, PAN memang tidak mampu mengalahkan PAS di Kuala Kangsar dalam apa cara sekali pun. Itu pun mereka masih berani untuk menyanggah kerusi kuota PAS di sini?

Secara tradisinya, PAS sudah berkali-kali bertanding di Parlimen Kuala Kangsar. Malah di zaman Tan Sri Rafidah Aziz bertanding sebagai calon BN di Kuala Kangsar dulu, PASlah parti yang beliau hadapi dulu. Memang itu tempat PAS mencabar BN, bukan PAN.

Jadi, apakah perkara yang menjadi pemangkin kepada PAN untuk meletakkan calon di situ? Untuk mencabar PAS di parlimen itu pun tidak mampu, apatah lagi mereka berkira-kira mencongak peluang untuk menawan kerusi P067 yang selama ini dikuasai BN?

Di atas kertas, saya melihat PAN hanya mempunyai sedikit saja kelebihan berbanding calon Bebas, Izat Bukhari. Kelebihan PAN berbanding Izat ialah mereka mempunyai organisasi parti politik, manakala Izat adalah sebaliknya. Itu saja.
Untuk dibandingkan dengan PAS, sewajarnya PAN patut ukur baju di badan sendiri. PAS lawannya BN. Saya yakin bahawa jika PAS menarik diri di PRK Kuala Kangsar, PAN sangat berpotensi hilang deposit di sini kali ini.

Namun begitu, saya jangka bahawa 'peti deposit' PAN di Kuala Kangsar hanyalah undi yang mungkin akan hadir dari masyarakat Cina yang menjadi menyokong DAP. Tapi jika mahu diharapkan pengundi atas pagar, jangan mimpi di siang harilah...

Walau bagaimana pun, tidak semestinya kaum Cina di Kuala Kangsar ini akan memberi undi pada PAN. Jangan lupa, di Kuala Kangsar juga ada MCA dan Gerakan. Melihat perkembangan di penamaan calon semalam, tidak mustahil mereka akan memihak kepada BN kali ini.

Kenapa? Kita pun tahu bahawa mereka memang menolak PAS sejak azali. Pendekatan PAS yang ekstrim dan keras memang tidak dapat mereka terima. Hendak diharapkan PAN, pilihan itu tidak realistik memandangkan PAN tidak mampu mengalahkan PAS di Kuala Kangsar.

Siapa lagi yang hendak mereka harapkan jika bukan BN yang selama ini membangunkan Bandar DiRaja ini dengan baik. Pembangunan membawa erti peningkatan ekonomi bagi mereka. Jadi, tidak mustahil akan berlaku 'swing' yang akan mengejutkan DAP nanti.

Apapun, masih awal untuk dijangka keputusan sebenar. Namun apa yang jelas, BN benar-benar bersatu di Kuala Kangsar. BN tidak wajar leka atau rasa selesa sekarang. BN perlu merangka sesuatu untuk masyarakat Kuala Kangsar.

Mastura sudah menyatakan komitmen beliau untuk meneruskan legasi arwah suaminya. 

Kesungguhan beliau tersirna walaupun hanya berkempen di rumah beliau sahaja. Saya percaya, keikhlasan Mastura untuk terus berbakti untuk masyarakat di Kuala Kangsar dapat dihidu pengundi di sini dengan mudah.
InsyaAllah, semoga dipermudahkan...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment