Tuesday, June 07, 2016

PAN Sekadar ‘Parti Pengacau’ Atau Parti Barua Untuk DAP

Mungkin sudah ditakdirkan selepas Pas menjadi ‘kuda tunggangan’ DAP dan PKR, kini giliran PAN pula akan menerima nasib yang sama. PAN yang ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan parti itu ternyata tidak mempunyai apa-apa kekuatan.

PAN bukan tandingan Pas malah sama sekali tidak akan mampu mencontohi waima parti-parti serpihan Pas lain seperti Hizbul Muslimin (HAMIM) dan Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM).

Justeru pemimpin-pemimpin PAN tidak boleh marah jika ada pihak khususnya daripada Pas melabel mereka sebagai ‘parti pengacau’. Dahulu ketika berada dalam Pas, mereka mengganggu kestabilan dan perjuangan Pas apabila lebih bersedia menyokong apa juga tindakan DAP dan PKR biarpun bertentangan dengan dasar Pas.

Sekarang apabila sudah tidak lagi berada dalam Pas, sikap pemimpin-pemimpin yang menganggotai PAN tidak berubah. Mereka terus mahu menjadi ‘pengacau’. Tetapi malangnya, dalam keghairahan mahu menjadi ‘pengacau’, PAN seolah-olah terlupa untuk bermuhasabah bagi menilai kemampuan mereka.

Sebab itulah apabila PAN membuat keputusan bertan­ding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini, langkah itu hanyalah sekadar mahu ‘mengacau’. PAN tahu mereka tidak ada kekuatan. Mereka hakikatnya tidak layak pun untuk mencabar Barisan Nasional (BN) mahupun Pas. Namun PAN bernafsu besar, mereka ingin menunjukkan kononnya mempunyai sokongan.

Hakikatnya, kehadiran PAN dalam kedua-dua PRK itu bukanlah demi untuk membela nasib rakyat, tetapi sekadar untuk ‘melepaskan geram’ khususnya bagi membuktikan bahawa mereka lebih kuat daripada Pas.

Berikutan itu wujudlah pandangan bahawa PAN sebenarnya tahu mereka tidak akan mampu mencapai kemenangan, apa yang mereka hasratkan ialah mendapat undi lebih daripada Pas. Itu sahaja matlamat mereka.

Ukuran kemenangan PAN dalam kedua-dua PRK tersebut bukannya memenangi kerusi, tetapi cukup untuk menewaskan Pas dari segi perolehan undi. Melalui cara itu mereka boleh menggunakannya sebagai modal bagi memberitahu rakyat khususnya orang Melayu bahawa parti mereka jauh lebih hebat daripada Pas.

Bagaimanapun PAN tidak boleh menafikan fakta bahawa mereka hakikatnya hanya parti serpihan. Dahulu PKR boleh hidup kerana diberi laluan oleh Pas untuk bertan­ding di kerusi-kerusi milik parti itu kecuali di Permatang Pauh, tetapi sekarang Pas sudah tidak lagi bersedia berbuat demikian.

Oleh itu mahu tidak mahu PAN terpaksa bertembung dengan Pas dalam pilihan raya. Jika pertembungan tersebut berlaku belum tentu PAN akan menang apatah lagi ketika ini pun pemimpin-pemimpin PAN menjadi Ahli Parlimen atau ADUN atas tiket Pas sebelum ini.

Jika PAN mahu memiliki wakil dalam DUN atau Dewan Rakyat, mereka perlu mencari kerusi paling selamat. Buat masa ini tiada satu pun kerusi yang berada pada kedudukan tersebut kecuali PAN memujuk DAP menyerahkan kerusi mereka sebagai ‘tanda persahabatan’.

Tetapi penulis yakin bak kata orang ‘mati hidup semula’ pun belum tentu DAP akan bersedia berbuat demikian. Sebelum ini pun dalam cadangan pembahagian kerusi yang dikemukakan oleh salah seorang pemimpin kanan DAP, mereka mahu Pas yang berkorban menyerahkan kerusinya kepada PAN, biarpun mereka memahami Pas bukanlah sekutu dalam pakatan pembangkang.

Berikutan itu adalah lebih baik jika PAN tidak terlalu ghairah atau bermimpi untuk ‘dihadiahkan’ kerusi oleh DAP dalam pilihan raya, sebaliknya PAN perlu bersedia untuk diperalatkan oleh DAP seperti mana yang dialami oleh Pas sebelum ini.

Apapun penulis menganggap PAN tiada apa-apa keistimewaan yang harus diberi perhatian. Percayalah akhir­nya parti itu akan ‘tenggelam’ sendiri, selepas berjaya buat seketika menjadi ‘pengacau’ dalam arena politik negara.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment