Monday, June 06, 2016
Penamatan Kluster : Perubahan Pentadbiran Razif Pertama
Penamatan kluster
seperti mana yang dimaklumkan oleh pegawai-pegawainya dalam satu laporan
berita semalam dillihat tidak mengancam kedudukan Ahmad Razif sebagai
Menteri Besar Terengganu malah mengukuhkan lagi kedudukannya dalam
memperkasakan pegawai-pegawai menteri besar.
Kluster yang terdiri daripada lima
kumpulan; pendidikan, ekonomi, agama, politik dan belia; ditubuhkan pada
September 2014, yakni selepas beberapa bulan Ahmad Razif dilantik
menjadi menteri besar, bertujuan untuk menjadi ahli pemikir serta
pelaksana dalam program-program yang dapat memberi impak kepadanya.
Namun demikian, penamatan kluster
tersebut dengan alasan langkah penjimatan kerajaan negeri tatkala
keadaan ekonomi negeri yang tidak stabil dilihat sebagai satu langkah
berani Ahmad Razif melakukan perubahan dalam pentadbirannya setelah
hampir dua tahun bersikap “menjaga” hati bekas-bekas ahli politik yang
dilantik dalam cluster berkenaan.
Apatah lagi, sejauh manakah
pegawai-pegawai kluster tersebut melakukan tanggungjawab mereka dalam
bidang masing-masing selain daripada menjaga periuk nasi serta menjadi
“gunting dalam lipatan” kepada Ahmad Razif?
Selain daripada itu, kelima-lima kluster
berkenaan dilihat sebagai kegagalan pertama Ahmad Razif setelah menjadi
menteri besar menggantikan Ahmad Said kerana ketidakberfungsian dalam
melaksanakan tugas, selain daripada diberi gaji secara penuh RM5000
sebulan sebagai elaun.
Walaupun Ahmad Razif tidak pernah
bersuara dan mengumumkan perkara berkenaan kepada media dan laporan
tersebut hanya memetik luahan perasaan salah seorang pegawai klusternya,
tindakan Ahmad Razif merupakan satu tindakan yang berani, tegas dan
tepat dalam memastikan pentadbirannya semakin kukuh setelah menerima
beberapa ancaman dalam separuh tahun ini.
Antara pegawai Ahmad Razif yag turut
ditamatkan perkhidmatannya ialah Pengarah Unit Komunikasi Negeri
Terengganu, Che Mansor Che Kerma, yang dilihat kurang aktif
pembabitannya dalam bidang media apabila Ahmad Razif bertalu-talu
diserang baik samada dalam media utama mahupun media sosial, sedangkan
Che Mansor memegang media rasmi kerajaan negeri, Teganukita.my.
Mungkin akan ada perubahan-perubahan yang
akan berlaku selepas daripada ini apabila Ahmad Razif melihat dan
memberi peluang kepada pegawai-pegawai agensi di bawahnya untuk
melakukan tanggungjawab dan melaksanakan kerja dengan baik. Adakah
Pengarah Agensi Transformasi Rakyat (ATRA), Omar Adam akan turut diganti
dengan orang yang lebih layak yang mana tidak “syok sendiri” untuk
menjadi calon kawasan?
Walaubagaimanapun, tindakan pertama Ahmad
Razif ini dilihat sebagai tindakan yang berani dan terbaik untuk
memberi ruang dan peluang kepada dirinya sendiri untuk mengukuhkan
kedudukannya sebagai orang pertama negeri setelah lebih daripada dua
tahun “menjaga hati” pegawai-pegawai di sekelilingnya. Syabas dan
tahniah!
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment