Monday, June 06, 2016
Perkukuh Hubungan Sesama Insan Di Bulan Ramadan – Najib
KUALA LUMPUR : Umat Islam di negara ini perlu mengambil
peluang bersempena bulan Ramadan untuk memperkukuhkan hubungan sesama
insan khususnya yang kurang berkemampuan, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Perdana menteri dalam perutusan Ramadannya berkata umat Islam
sememangnya dituntut untuk mempertingkatkan sumbangan dan khidmat kepada
mereka yang memerlukan pada bulan yang mulia ini.
“Kita bersyukur kerana umat Islam di Malaysia sentiasa dapat
menyumbang dan membantu saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik
dari dalam dan luar negara.
“Melalui sumbangan ini, kita bersama dapat merasai kesusahan golongan
yang tidak berkemampuan dan puasa ini sebenarnya mampu meningkatkan
tahap insane manusia untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang dikurniakan
oleh Allah SWT kepada mereka dengan golongan yang kurang berkemampuan,”
katanya.
Perutusan perdana menteri bersempena menyambut bulan Ramadan itu dimuat naik di laman web www.najibrazak.com hari ini.
Najib juga mengingatkan umat Islam di negara ini supaya mengambil
peluang bersempena bulan Ramadan untuk mengukuhkan aspek kerohanian bagi
mencapai kejayaan dalam aspek kehidupan yang lain.
Ibadah puasa, katanya telah terbukti dapat melatih manusia supaya
sentiasa bersabar untuk menghadapi sebarang bencana dan pergolakan
hidup.
“Bahkan, puasa juga melatih kita agar menepati masa terutamanya ketika bersahur dan berbuka puasa,” katanya.
Perdana menteri turut berharap agar bulan Ramadan tahun ini dapat mengangkat ketakwaan umat Islam melalui ibadah berpuasa.
“Semoga negara kita mendapat bahagian yang maksimum daripada limpahan
rahmat, barakah dan maghfirah yang dijanjikan Allah SWT di bulan ini.
“Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment