Wednesday, June 08, 2016

"Bulan Ramadhan Pun Nizar Nak Menipu", Kata Zambry

KUALA KANGSAR : Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini mengecam tindakan Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang berterusan melempar tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut menggelar Mohammad Nizar sebagai ‘penipu bersiri’ apabila bekas menteri besar Perak itu dilihat tanpa henti memfitnah dan membangkitkan isu tertentu meskipun telah diperjelaskan kerajaan sebelum ini.

“Saya amati perangai dia tidak habis-habis buat serangan. Bayangkan bulan Ramadan pun dia nak menipu,” kata Zambry selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jentera PRK Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mohammad Nizar yang mengatakan beliau memberi tanah kepada kroni tertentu dalam ceramah umum parti itu di Kampung Sayong Lembah, semalam.

Mohammad Nizar yang dipetik dalam media sosial turut berkata: “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.

Mengenai dakwaan kerajaan negeri memberi tanah seluas 45,324 hektar kepada pihak tertentu, Zambry berkata, perkara itu telahpun diperjelaskan sebelum ini termasuk pada sidang DUN Perak.

“Pembangkang ini telah kekeringan dan habis modal, sebab itu akan buat pembohongan,” katanya.

Zambry meminta pengundi di Parlimen Kuala Kangsar supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan parti pembangkang.

PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian ahli Parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Ia bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, AMANAH dan Bebas.

Untuk rekod, Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 22,496 pengundi Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment