Monday, June 06, 2016
Konsolidasi Fiskal Antara Langkah Penting Kerajaan Dalam Mengukuhkan Ekonomi Negara – Wahid
KUALA LUMPUR : Usaha konsolidasi fiskal,
termasuk rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST), adalah antara langkah penting yang telah
dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara.
“Tanpa langkah-langkah konsolidasi fiskal ini, penarafan kredit
negara akan terjejas dan kerajaan akan terpaksa mengurangkan dengan
ketara perbelanjaan pembangunan (termasuk pembinaan hospital, sekolah
dan jalan raya),” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri
Abdul Wahid Omar.
Ia juga akan memberikan kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan
pertumbuhan ekonomi negara, katanya menerusi satu kenyataan untuk
berkongsi pegalaman beliau semasa berkhidmat sebagai Menteri Kabinet.
(Latar belakang) Malaysia menyasarkan defisit 3.1 peratus daripada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016 berbanding 3.2 peratus pada
tahun lepas.
GST yang mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi
makronya merupakan penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara secara
keseluruhannya kerana ia telah dapat menampung hasil kerajaan ekoran
pengurangan hasil cukai petroleum.
“Sebagai Menteri yang antara lain bertanggungjawab ke atas Unit
Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), saya
bertuah kerana sering dapat membentangkan memorandum dan nota Kabinet.”
Wahid berharap beliau telah dapat menambah nilai dalam
perbincangan dengan memberikan perspektif sektor swasta dalam pelbagai
isu sebelum ia diputuskan oleh kerajaan.
Dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan telah
menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang dipengerusikan beliau
bermula pada Ogos 2015.
“Beberapa langkah proaktif telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak pada 14 Sept, 2015 bagi menstabilkan pasaran
kewangan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyokong aktiviti
perniagaan dan meningkatkan integriti institusi.”
“Alhamdulillah, pasaran kewangan telah kembali stabil dan ekonomi
kita dijangka terus berkembang 4 hingga 4.5 peratus tahun ini, lebih
pantas berbanding pertumbuhan tiga peratus ekonomi dunia.”
Wahid berkata beliau juga berpeluang membantu Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed
dalam rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), termasuk
beberapa sesi penerangan kepada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat
Michael Froman berkenaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan
peranan GLCs.
“Saya percaya pasukan Malaysia/MITI telah melakukan yang terbaik
dalam rundingan sehingga mendapat terma-terma yang bermanfaat. Ini
termasuk pengiktirafan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai
sebuah dasar inklusif dalam TPPA,” katanya.
Tokoh korporat yang lembut berbicara itu turut mencerita betapa
gementar beliau semasa menghadiri mesyuarat kabinet kali pertama selepas
dilantik sebagai senator.
“Saya masih ingat betapa gementar atau ‘nervous/anxious’nya saya
semasa memasuki bilik mesyuarat. Tetapi Alhamdulillah, saya telah
diterima mesra oleh rakan-rakan Kabinet.”
Antara pengalaman paling unik semasa bertugas di Parlimen Malaysia,
kata Wahid :”Saya masih ingat lagi kali pertama saya menjawab soalan YB
Gombak di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2013 berkenaan kadar pengangguran.”
“Setelah menjawab soalan tambahan YB Gombak dan YB Ayer Hitam, saya
merasa tercabar apabila Ketua Pembangkang YB Permatang Pauh sendiri
telah bangun mengutarakan soalan tambahan.
Namun Alhamdulillah, walaupun
sebagai ‘rookie’, saya percaya telah dapat menjawab soalan dengan baik
walaupun diasak oleh Ketua Pembangkang sendiri.”
Wahid berkata pengalaman hari pertama itu banyak membantu dirinya dalam sesi-sesi Parlimen seterusnya.
“Saya juga berpeluang membentangkan tiga Rang Undang Undang (RUU)
iaitu RUU Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014, RUU
Suruhanjaya Penerbangan 2015 dan RUU Bekalan Gas (Pindaan) 2016. Tiga
RUU dalam tiga tahun perkhidmatan merupakan pengalaman yang amat
berharga bagi saya.”
Wahid yang menyifatkan pengalaman tiga tahun itu sebagai ‘satu
tempoh yang padat (action-packed)’ berkata beliau amat bertuah kerana
dianugerahi pingat Panglima Setia Mahkota oleh SPB Yang di-Pertuan Agong
pada hari terakhir perkhidmatannya.
“Ini merupakan suatu penghormatan yang amat saya hargai. Menjunjung kasih Tuanku dan terima kasih YAB PM,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment