Wednesday, June 08, 2016
Remaja Komen Hina TMJ Di Facebook Dipenjara Setahun
Awas... kepada yang suka hati main komen sana-sini. Kes ini boleh jadi
satu ingatan. Seorang remaja dijatuhi hukuman penjara selama setahun
yang berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu selepas
mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan menghina Institusi DiRaja Johor.
Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, membuat pengakuan bersalah di
atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, Sabariah Atan.
Mengikut kesemua pertuduhan, Muhammad Amirul Azwan yang berasal dari
Tumpat Kelantan itu didakwa mengeluarkan komen berbentuk jelik dalam
laman sosial Facebook atas nama 'Miyo Castello' antara Mac hingga April
lepas dengan niat untuk menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim.
Tertuduh yang merupakan seorang buruh itu didakwa melakukan kesalahan di
bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit
kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak
melebihi setahun atau kedua-duanya.
Muhammad Amirul Azwan dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan
hukuman ke atasnya memandangkan berasal daripada keluarga miskin dan
berjanji tidak akan mengulangi kesalahan serupa.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad bagaimanapun memohon mahkamah
menjatuhkan hukuman berat kerana menyifatkan ia satu kesalahan serius
berbentuk penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor yang bakal menjadi
Sultan Johor.
Sabariah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama setahun yang
berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 28 April lalu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment