Monday, June 06, 2016
Pemerintahan Dan Pilihan Kepimpinan Tepat Tentukan Keamanan Negara – Najib
PEKAN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
soal pemerintahan dan pemilihan kepimpinan yang tepat berkait rapat
dalam menentukan soal keamanan dan keharmonian negara.
Beliau berkata kesilapan pemilihan pemimpin boleh menyebabkan negara
menjadi huru-hara dan bergolak seperti yang dialami kebanyakan negara
Islam seperti Syria, yang menyaksikan umat Islam negara itu berada dalam
keadaan terancam dan tertekan.
“Allah suruh kita taat kepada-NYA, taat kepada Rasul dan Ulul Amri.
Itulah prinsip di dalam Islam yang mana soal pemerintahan dan kepimpinan
tidak boleh dipisahkan.
“Kalau letak orang yang bukan pada tempatnya, akhirnya berlaku
pergolakan kerana kegagalan kepimpinan. Maka, kita semua akan terima
kemudaratan seperti yang berlaku di negara Islam yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan
sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Pekan di Masjid
Pulau Serai di sini, hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Ishak Muhamad.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata rakyat Malaysia harus
mengambil iktibar terhadap nasib yang menimpa umat Islam di Syria
berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu.
“Baru-baru ini, kita terima kumpulan kedua pelarian dari Syria yang
negara kita mampu tawarkan 3,000 tempat untuk mereka diberi
perlindungan.
“Kalau dengar cerita mereka, memang mengerikan apa yang terpaksa
dihadapi dan dilalui. Justeru, ini adalah peringatan bagi kita,”
katanya.
Najib berkata prinsip wasatiyah atau kesederhanaan dalam pemerintahan
yang diamalkan kerajaan selama ini turut menjadi kunci utama
keharmonian dan keamanan negara.
Menurutnya semua pendekatan yang dilaksanakan kerajaan membolehkan
setiap dasarnya dapat diterima baik termasuk dalam kalangan rakyat bukan
Islam di negara ini.
“Ini berlaku kerana kita telah melakukan pilihan yang tepat dengan
mengamalkan pendekatan wasatiyah, yang menepati kehendak Islam yang
sebenar iaitu tidak terlalu ketat dan dalam masa sama tidak terlalu
longgar atau liberal.
“Kita berada di tengah-tengah kerana itulah kehendak Islam supaya
tidak berat sebelah dan amalkan dasar kesederhanaan. Ini memudahkan kita
diterima oleh mereka yang beragama Islam mahu pun bukan Islam,” kata
beliau.
Pada majlis itu, sebanyak 226 masjid dan surau menerima sumbangan wang tunai dan kurma sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment