Monday, June 06, 2016

#PRKSungaiBesar : Kalau GKCM Bertanding, Adakah PERKASA Jenteranya?

EDITOR MENULIS...
6 JUN 2016
said midon
Semalam bertebaran khabar di angin lalu membawa ceritera, akan hasrat GKCM kononnya bakal menaruh harapan baru kepada anak tempatan bagi mewakilinya sekaligus menyaksikan pertandingan 4 penjuru di Sungai Besar.

Negara ini mengamalkan konsep demokrasi, maka saya pasti tiada siapa yang mampu menghalang jika itu kehendak dan kemahuan mereka.

Apa yang menariknya, penaung GKCM, Mahathir Mohamad sudah tentu akan diangkut dan dijulang selaku “tekong utama” bagi melancarkan servis kuda atau libas “gulung” ke arah Barisan Nasional. 

Maka, siapa pula watak yang mengangkut dan menjulang si tekong ini tadi?

Bila sebut nama Mahathir, maka secara automatisnya berkait rapat dengan GKCM, dan juga PERKASA. Bukanlah rahsia, sewaktu percubaan mengaibkan Perdana Menteri di program “Nothing To Hide”, kemeja T tebuan Perkasa menghiasi kiri dan kanan Mahathir. Malah, wajah-wajah yang sama juga dilihat di hampir setiap program deklarasi rakyat.

Apakah PERKASA bakal membantu jentera GKCM jika benar GKCM meletakkan calonnya di Pilihan Raya Kecil Sungai Besar nanti?

Jawapannya ya dan tidak. Seperti songsang pula bunyinya kan?

Saya amat positif, dan yakin bahawa PERKASA tidak akan membenarkan mana-mana ahlinya untuk membantu kempen GKCM nanti dengan mengenakan sebarang kemeja, baju atau lambang PERKASA. Mungkin sebagai bukti kononnya PERKASA bersikap berkecuali, apatah lagi setelah teruk dikritik sebelum ini.

Tetapi, pasti PERKASA tiada halangan untuk membenarkan ahlinya membantu GKCM atas kapasiti peribadi. Saya menjangkakan, wajah-wajah yang sinonim dengan PERKASA juga yang bakal turun membantu GKCM sekiranya bertanding kelak. Alasannya mereka tidak mewakili PERKASA, tetapi kapasiti peribadi.

Tiba-tiba saya teringat satu kejadian oleh seorang aktres popular sekitar tahun 1990-an, yang bercumbu ghairah di atas pentas teater. Apabila ditanya mengapa melakukan adegan tersebut, beliau memberitahu watak yang dilakonkannya itu adalah watak bukan Islam, as simple as that! Orang yang sama, tetapi watak yang berbeza-beza alasannya. Matlamat menghalalkan cara, cara digubah untuk mencapai matlamat.

Tidak sabar rasanya untuk melihat jentera GKCM jika benar mereka bertanding nanti.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment