Wednesday, June 08, 2016

PAS Tidak Selamanya Kekal Dalam Kerajaan Negeri Selangor - PAN

SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (PAN) mengingatkan PAS bahawa parti itu tidak selamanya akan kekal dalam kerajaan negeri Selangor, terutama sekali selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PAN Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata PAS terpaksa menerima hakikat bahawa mereka sudah lama meninggalkan pakatan pembangkang selepas terbubarnya Pakatan Rakyat (PR) pada tahun lalu.

Justeru tegasnya, PAS perlu mengkaji dan melihat semula kedudukan mereka bersandarkan kepada perkembangan politik semasa.

"Itu mencerminkan konsep asal bagaimana PAS di Selangor boleh memenangi banyak kerusi, iaitu di bawah permuafakatan PR masa tu, PAS bukan bersendirian. Jadi sekarang ini (PAS) bukan lagi di bawah panji PR atau PH (dan) PAS tanding sendirian. Jadi saya rasa PAS perlu menganalisa balik situasi sebenar.

"Kita kena rujuk balik senario semasa pembahagian kerusi PRU13 lain, senario sekarang lain. Saya rasa perkara itu mungkin sekarang ini dah tak relevan lagi, jadi kita perlu duduk dan bincang semula tapi masalahnya PAS tak mahu berbincang," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Terdahulu PAS memberitahu PAN supaya melupakan hasrat mereka untuk menggantikan parti itu dalam kerajaan Selangor.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, walau apapun keputusan PRK Sungai Besar pada 18 Jun ini, PAS akan tetap bersama kerajaan dan memegang kerusi Exco dalam kerajaan negeri itu.

Sebelum ini ada dakwaan mengatakan Exco PAS perlu meletak jawatan dan digantikan PAN sekiranya undi calon Pakatan Harapan (PH) melebihi undi PAS dalam PRK nanti.

Mengulas mengenai perkembangan pemilihan calon untuk PRU akan datang, Raja Kamarul berpendirian bahawa PH tetap akan meletakkan calon dan bukan mengikut seperti yang dicadangkan oleh PAS pada sidang muktamar baru-baru ini.

Tetapi PH tetap mengambil pendekatan untuk berbincang sesama parti komponennya dalam Pakatan Harapan namun semuanya terserah kepada PAS untuk menyertai rundingan itu.

"PH macam mana sekalipun akan bertanding mana-mana kerusi (kerana) jadi konsep kita, sekarang ni dah ada dua blok pembangkang (dan) BN.

"Jadi sekarang ni terpulang pada PAS samada nak pergi ke BN atau nak kembali ke kita. Sekarang kita tak boleh buat apa-apa andaian kerana ini terpulang kepada PAS," katanya lagi.

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali, pada muktamar memberitahu mana-mana parti politik pembangkang tidak boleh meletakkan calon pada kerusi yang kebiasaannya dimenangi mereka.

Sebaliknya ujar beliau, selain daripada kerusi yang belum dimenangi parti itu ia boleh dirunding sebelum PRU akan datang. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment