Wednesday, June 08, 2016
Allah Sengaja Pilih Kuala Kangsar Untuk Pengundi 'Ajar' BN Lepas Rampas Perak Pada 2009
SHAH ALAM : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin
mendakwa Allah sengaja memilih Kuala Kangsar untuk diadakan Pilihan Raya
Kecil (PRK) bagi 'mengajar' pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) kerana
merampas negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR) pada Februari 2009.
Katanya, PRK yang akan berlangsung 18 Jun depan adalah peluang kepada
penduduk Kuala Kangsar sekali lagi memilih parti yang dirasakan
benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.
“Kenapa tidak pilih Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, kenapa pilih Kuala Kangsar, Bandar Diraja?
“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya
diberikan amanah untuk menjadi menteri besar Perak, daripada Mac 2008
hingga Februari 2009.
“Di sinilah buminya yang mana kedua-dua makhluk ini datang merampas
kerajaan Pakatan yang saya pimpin ketika itu. Siapa makhluk itu? Tak
lain tak bukan (Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid
(Hamidi)," katanya ketika berceramah di Kampung Sayong Lembah, Kuala
Kangsar, malam semalam.
BN merampas kerajaan negeri Perak dari Pakatan Rakyat pada tahun 2009,
selepas Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah, menolak permohnan
Nizar untuk membubarkan Dewan.
Nizar terpaksa membuat permohonan itu selepas tiga ADUN - dua dari PKR
dan satu dari DAP - meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil
Bebas yang mesra BN.
Almarhum Sultan Azlan memetik Perlembagaan Negeri Perak yang menyatakan
bahawa berdasarkan budi bicara baginda, Nizar tidak lagi mendapat
sokongan majoriti DUN susulan pembelotan itu.
Nizar kemudiannya berkata Najib dan Zahid tidak menghormati hak rakyat Perak yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat, ketika itu.
“Kebiadapan Najib dan Zahid merampas kerajaan Perak ini di bumi Kuala
Kangsar, maka Allah jadikan di bumi ini juga pilihan raya kecil terpaksa
diadakan.
“(Ini) supaya orang Kuala Kangsar mengajar mereka kerana kamu kurang
ajar kepada pilihan rakyat, kamu berlaku jahat, zalim kepada rakyat
Perak,” katanya.
“Orang Kuala Kangsar nak ajar kamu, bahawa mereka mewakili 30 juta rakyat Malaysia," ujarnya lagi.
Nizar sehubungan itu, menyeru pengundi Kuala Kangsar menyokong calon
Pakatan Harapan yang diwakili oleh Parti Amanah Negara (PAN) iaitu
Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli.
Dr Ahmad Termizi akan berdepan dengan calon BN Datin Mastura Mohd Yazid yang mempertahankan kerusi mendiang suaminya.
Selain daripada Mastura, Termizi juga menghadapi saingan daripada calon
PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail
Bukhary.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment