Tuesday, June 07, 2016

Nasrudin Kecewa Dengan PKR... Tahu Kacau Daun Tapi Sokong PAN

Ahli Akar umbi PAS terguris dengan tindakan PKR yang tetap menyokong calon PAN meskipun parti rakannya itu tahu kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar milik PAS.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata partinya telah bertanding menentang BN (dikedua-dua kawasan itu sekian lama), Parti Amanah Negara (PAN) yang datang kacau daun.

"PAN yang datang kacau daun dan PKR pula membuat sokongan kepada PAN dalam keadaan mereka tahu bahawa kerusi asal yang ditandingi oleh pembangkang ialah kerusi PAS,"katanya dipetik sebuah portal.

"Mereka nak pertahankan tindakan mereka meletak calon kacau daun, akhirnya mereka kata perjuangan PAS kabur," katanya.

Beliau dalam masa yang sama menyifatkan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah tidak layak menilai perjuangan parti Islam itu.

Nasrudin berkata, PAS telah pun menentang UMNO sekian lama, ketika Saifuddin masih mempertahankan parti kerajaan itu lagi.

"Datuk Saifuddin Abdullah bukan orangnya... yang layak untuk menilai bagaimana cara PAS berjuang.

"Semasa beliau hangit mempertahankan UMNO dan BN, PAS sudah pun menentang UMNO dan BN, malah saya menentangnya sewaktu beliau masa itu tegar dengan ideologi UMNOnya," katanya.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, dek kerana pendirian PAS yang menjadi penasihat kepada UMNO dan kenyataan pimpinannya yang semakin menjauhkan diri daripada PKR, maka kedudukannya sebagai parti pembangkang menjadi kabur malah kelihatan bersahabat pula dengan UMNO.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh juga ada membangkitkan persoalan berhubung tindakan Saifuddin dengan berkata, 'baru sehari dua beliau terbuang dari UMNO, beliau nak menilai dan meletak markah pada perjuangan PAS?'

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bakal berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Parti Amanah Negara (PAN).

Sementara untuk PRK di Kuala Kangsar pula bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, Pas, PAN dan Bebas.

Sebelumnya, PKR yang merupakan rakan tahaluf siyasi PAS di Selangor menjadi perhatian apabila menyatakan sokongan kepada calon PAN.

Nasrudin  3 Jun lalu memberitahu usul Dewan Muslimat PAS untuk mengkaji hubungan dengan PKR akan dibawa kepada Majlis Syura Ulama untuk dikaji sebelum PAS membuat keputusan muktamad.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Usul PAS berkata, usul sayap Dewan Muslimat itu dibawa terus kepada Majlis Syura Ulama memandangkan ia diluluskan tanpa bahas.

Katanya, segala keputusan berhubung kedudukan PKR dengan parti Islam itu akan diumumkan Majlis Syura Ulama kelak.

“Usul tersebut daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau, Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia. Jika masih ada keuntungan (boleh) diteruskan dan jika tiada Majlis Syura Ulama berhak membuat apa saja keputusan.

“Usul tersebut meminta tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dinilai semula atas beberapa perkara berbangkit (termasuk) apakah masih ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya,” katanya.

Dewan Muslimat PAS menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Usul yang dikemukakan Dewan Muslimat PAS Kedah itu antara lain menyebut PKR dilihat seolah-olah tidak menghormati parti Islam itu dengan menjalin kerjasama dengan PAN yang kerap melemparkan pelbagai dakwaan terhadap PAS. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment