Monday, March 07, 2016
Empat Minit Awal Ke HUSM Selamatkan Nyawa Ustaz Kazim
IPOH : "Empat minit awal sampai ke Hospital Universiti Sains Malaysia
(HUSM), Kubang Kerian menyelamatkan nyawa saya," demikian cerita
pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias yang diserang sakit jantung akhir bulan
lalu.
Mohd Kazim berkata sekiranya beliau tiba lewat di hospital berkenaan
banyak risiko boleh berlaku termasuk lumpuh, kematian sel otak dan
strok.
"Saya bersyukur saya menamatkan ceramah saya awal dalam tempoh lima
hingga tujuh minit dan berterima kasih kepada Klinik Kesihatan Gunong
kerana membawa saya ke hospital dengan kadar segera.
"Saya tidak sangka saya kena serangan jantung memandangkan saya seorang
yang mengamalkan pemakanan sihat dan kuat bersenam," katanya ketika
ditemui pemberita selepas buat pertama kali menerima pelawat di Pusat
Pendidikan Al-Barakah di sini, Sabtu.
Beliau turut menerima sumbangan pejabat Menteri Besar Perak sebanyak
RM500,000 untuk pengurusan pusat itu yang disampaikan Pegawai Khas
Menteri Besar Perak Datuk Azhar Ahmad.
Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada
ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang
Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok, Kelantan pada 9.30 malam, 19 Februari
lepas.
Bercerita lebih lanjut, Mohd Kazim berkata berdasarkan pemeriksaan
kesihatan yang dijalankan tahun lepas tidak menunjukkan sebarang masalah
terutama jantung.
"Imbasan elektrokardiogram, ujian darah semuanya sihat, tidak ada
masalah jantung," katanya sambil menambah bebanan kerja menjadi salah
satu punca serangan jantung.
Mohd Kazim berkata laporan doktor menunjukkan kesihatan beliau kini
semakin bertambah baik, kecuali otot bahagian jantung yang terluka
semasa serangan jantung masih belum pulih.
"Ia menyebabkan pergerakan agak terbatas, saya tidak boleh bergerak laju
dan pantas. Saya bercakap pun tidak boleh laju dan mungkin mengambil
masa," katanya.
Mengenai Pusat Pendidikan Al-Barakah, Mohd Kazim berharap agar kerajaan
Negeri dapat mengambil alih dan menjadikan ia maahad tahfiz berasrama
penuh supaya semua urusan berjalan dengan baik dan lancar.
Selain faktor kesihatan, Mohd Kazim berkata beliau juga tidak mampu
menanggung keseluruhan operasi pusat itu yang mencecah sehingga
RM200,000 setiap bulan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment