Friday, May 06, 2016

90 Peratus Guru Anak Tempatan Di Sarawak Menjelang 2019 – Najib

http://newsdata2.bernama.com/bernama/newspic/am/FW469351_SK05_050516_PM_TABLET-scr.jpg
KUCHING : Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran 90 peratus guru di Sarawak terdiri daripada anak tempatan menjelang 2019 berbanding 81 peratus pada masa kini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata langkah itu akan mewujudkan kelompok guru yang stabil, sekali gus menyelesaikan masalah warga pendidik yang sebelum ini memohon mahu pulang untuk berkhidmat di negeri asal mereka.

Selain itu, katanya, kerajaan akan membangunkan semula sekolah-sekolah daif di luar dan pinggir bandar di Sarawak supaya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar.

Misalnya, katanya, pembangunan semula Sekolah Kebangsaan Sungai Ladong dilengkapi dengan kemudahan serba moden dapat disedikan dalam tempoh tujuh minggu menerusi penggunaan teknoloji Sistem Binaan Industri (IBS).

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian tablet berserta perisian Tutor Guru dan E-Paper Utusan Malaysia kepada guru-guru, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Najib berkata penggunaan tablet itu mampu melonjak proses pengajaran dan pembelajaran ke tahap yang tinggi.

Untuk tujuan itu, sejumlah 42,000 guru sekolah rendah, menengah dan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah di Sarawak akan menerima tablet berserta perisian di bawah projek perintis ini, katanya.

“Projek perintis ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain secara berperingkat supaya warga pendidik dapat menyampaikan kandungan pembelajaran dengan lebih kreatif,” katanya.

Beliau juga berkata komitmen kerajaan untuk memajukan pendidikan di Sarawak memerlukan dua dimensi utama iaitu pembangunan kepada prasarana fizikal dan kemudahan rangkaian internet yang baik serta pembangunan modal insan.

“Kalau salah satu (dari dua dimensi itu) kita tidak buat, maka tempanglah pembangunan pendidikan di Sarawak,” katanya.

Najib berkata program pembangunan pendidikan di Sarawak mampu dilaksanakan dengan perkongsian antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata segala idea baharu, perancangan dan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri adalah penting bagi memperkasakan bidang pendidikan negara.

Sementara itu, Mahdzir berkata pencapaian literasi dan numerasi murid-murid di Sarawak membanggakan apabila literasi bahasa Melayu mencatat 97.2 peratus manakala bahasa Inggeris 92.3 peratus, yang merupakan antara pencapaian tertinggi di seluruh negara.

“Di peringkat kebangsaan, kita berjaya merapatkan jurang pencapaian sebanyak 31.6 peratus berdasarkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sarawak melangkah lebih jauh kerana berjaya merapatkan jurang sebanyak 43.7 peratus,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment