Friday, May 06, 2016

Jangan Serahkan Kad Pengenalan, Dan Benarkan Jari Ditanda Dakwat Atau Cat – SPR

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/01/Datuk_Seri_Mohd_Hashim_Abdullahspr.jpg
KUCHING : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi terutama warga emas, supaya tidak menyerahkan kad pengenalan kepada orang lain supaya tidak jejas peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sabtu ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata mereka juga dinasihatkan supaya tidak membenarkan jari mereka ditanda dengan sebarang dakwat atau cat sebelum mengundi.

Mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan dan jari bertanda cat tidak dapat mengundi pada Sabtu ini, katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Semakan Peti Undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang di Majlis Perbandaran Padawan, di sini hari ini

Beliau berkata kad pengenalan penting untuk membuktikan mereka warganegara Malaysia, dan juga mengesahkan mereka pengundi berdaftar dengan SPR, dan untuk itu pengundi berdaftar perlu menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan membawanya sendiri ke tempat pengundian.

Mohd Hashim berkata: “Pengundi yang masuk untuk mengundi akan diperiksa jarinya supaya bebas daripada sebarang dakwat dan mereka akan mencelup jari ke dalam botol dakwat yang disediakan SPR.

“Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicelup dakwat, maka kertas undi tidak akan diberikan kepadanya,” katanya.

Mohd Hashim turut meminta majikan di sektor awam dan swasta membenarkan pekerja mereka keluar mengundi pada Sabtu ini seperti yang diperuntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mereka yang melanggar peraturan ini boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata SPR menyediakan 1,754 pusat mengundi dengan 2,789 saluran kepada 1.1 juta (1,085,087) pengundi Sarawak untuk pengundian Sabtu ini yang melibatkan 80 kawasan DUN.

Pengundian ini tidak melibatkan DUN Bukit Kota dan Bukit Sari yang dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang kedua-dua kerusi itu iaitu
 
Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan pada hari penamaan calon 25 April lepas.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata persiapan SPR untuk hari pengundian telah siap seratus peratus, termasuk penyediaan helikopter, bot-bot dan perahu panjang bagi memastikan kelicinan proses pilihan raya di seluruh negeri.

Semua pusat undian akan dibuka mulai pukul 8 pagi dan akan ditutup sepenuhnya pada 5 petang, namun terdapat sesetengah pusat pengundian ditutup lebih awal mengikut lokasi dan jumlah pengundi, katanya.

Beliau berkata memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi lebih awal.

“Walaupun SPR telah menyasarkan jumlah keluar mengundi sebanyak 75 peratus tetapi kita berharap angka itu akan meningkat lebih 80 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hashim turut memuji suasana pilihan raya di Sarawak sepanjang tempoh berkempen setakat ini yang tenang dan mengharapkan keadaan itu berterusan sehingga hari pengundian.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment