Friday, May 06, 2016
ADUN Seberang Jaya Diarah Bayar RM280,000 Kepada Empat Wakil Rakyat BN
Mahkamah Tinggi di sini hari ini mmerintahkan
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin
membayar ganti rugi berjumlah RM280,000 kepada empat wakil rakyat
Barisan Nasional (BN) kerana memfitnah mereka berhubung penjualan tanah
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.
Pesuruhjaya Kehakiman Lim Chong Fong memerintahkan Dr Afif daripada
PKR membayar RM70,000 masing-masing kepada Anggota Parlimen Tasek
Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, ADUN Telok Ayer Tawar Datuk Jahara Hamid,
ADUN Permatang Berangan Omar Abd Hamid dan ADUN Sungai Dua Muhamad
Yusoff Mohd Noor.
Beliau juga mengarahkan Dr Afif selaku defendan membayar kos RM10,000
kepada keempat-empat plaintif itu berserta faedah lima peratus.
Ketika membenarkan saman fitnah difailkan oleh empat wakil rakyat BN
itu, Lim berkata mahkamah mendapati perkataan yang diucapkan oleh Dr
Afif pada Himpunan Reformasi 2.0 bertarikh 17 April 2014 adalah fitnah
terhadap kesemua plaintif.
“Mahkamah juga mendapati pembelaan defendan untuk justifikasi gagal
kerana defendan tidak mengemukakan apa-apa bukti bagi menyokong rayuan
justifikasi,” katanya.
Lim dalam penghakimannya juga berkata mahkamah turut mendapati
pembelaan komen berpatutan adalah gagal kerana ucapan yang dibuat ADUN
PKR itu adalah pernyataan fakta dan bukan komen.
“Selain itu didapati ada unsur fitnah kerana defendan sepatutnya tahu
fakta berkaitan isu bantahan penjualan tanah TUDM ini daripada beberapa
artikel yang dilaporkan dalam surat khabar sebelum tarikh 17 April
2014,” katanya.
Pada Julai 2014, Shabudin, Jahara, Omar dan Muhamad Yusoff selaku
plaintif pertama hingga keempat menfailkan saman terhadap Dr Afif dengan
mendakwa Dr Afif telah membuat ucapan berbaur fitnah terhadap mereka.
Menerusi pernyataan tuntutan, kesemua plaintif itu mendakwa Dr Afif
telah membuat ucapan fitnah di hadapan serta didengari oleh semua yang
hadir dalam Himpunan Reformasi 2.0 di Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 17
April 2014.
Kesemua plaintif mendakwa pernyataan fitnah yang dibuat defendan
bermaksud n bahawa plaintif pertama hingga keempat telah menjual tanah
TUDM Butterworth kepada syarikat kroni.
Mereka juga mendakwa kenyataan itu juga turut menunjukkan kesemua
plaintif terlibat dengan penjualan tanah TUDM Butterworth tanpa melalui
proses penjualan yang betul serta terlibat dengan penyelewengan
penjualan tanah itu kepada pembeli yang berkepentingan peribadi.
Oleh itu kesemua plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan , faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Keempat-empat plaintif diwakili peguam Azmer Md Saad manakala Dr Afif diwakili peguam Datuk CV Prabhakaran.
Jahara ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dengan
keputusan mahkamah itu yang sekaligus telah membersihkan nama beliau dan
tiga rakannya daripada tuduhan terbabit.
Sementara itu, Prabhakaran pula berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Turut hadir di mahkamah pada prosiding hari ini ialah Dr Afif dan Muhamad Yusoff.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment