Friday, May 06, 2016

Dalam UMNO Hanya Ada Satu Team… Fokus Menang Pilihan Raya 14 – Zainal

PULAU PINANG : Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman meminta ahli-ahli parti agar memberikan tumpuan terhadap gerak kerja parti untuk menghadapi pilihanraya ke 14 dan tidak terikut-ikut dengan tindakan sesetengah kepimpinan parti yang cuba mewujudkan kem untuk menentang presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau,  sebenarnya tidak wujud Team A atau pun Team B sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu di dalam UMNO hari ini.
Datuk Zainal Abidin Osman 
“Tidak wujud Team A atau Team B di dalam UMNO seperti yang dikatakan oleh pihak tertentu termasuklah di kalangan kepimpinan UMNO itu sendiri. Setahu saya, Team A dan Team B ini sebenarnya wujud pada tahun 1987.  Wujudnya Team A dan Team B itu pun hanyalah ketika berlakunya pemilihan presiden UMNO pada masa itu.

“Namun hari ini kita tidak ada pemilihan parti maka bagi saya, tidak wujud Team A atau Team B seperti mana yang didakwa. Jika mereka ini mahu mencabar jawatan presiden parti maka tunggulah waktu pemilihan parti pada tahun 2018 nanti, bukan sekarang.

“Sekarang adalah masa untuk kita fokus kepada gerak kerja parti untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang,”ujarnya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak tertentu termasuk beberapa orang kepimpinan UMNO yang mendakwa wujudnya Team B di dalam UMNO bertujuan untuk menjatuhkan presiden parti yang sedia ada hari ini.

Tambahnya, apa yang dilakukan oleh segelintir kepimpinan UMNO yang cuba mewujudkan Team B di dalam parti merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan hanya bertujuan untuk memecahkan belahkan perpaduan ahli di dalam UMNO.

“Bagi saya, jika ada sebarang usaha untuk mewujudkan puak-puak tertentu di dalam UMNO, maka ia sebenarnya bertujuan untuk memecah belahkan kesatuan diantara ahli-ahli parti.

“Kami kepimpinan dan ahli parti di Pulau Pinang langsung tidak memikirkan tentang pemilihan jawatan di dalam parti ataupun untuk menukar kepimpinan tertinggi parti. Kita hanya mahu fokus tentang gerak kerja politik bagi memenangkan parti pada PRU akan datang.

“Jadi, jika ada program-program ceramah yang cuba memperlihatkan wujudnya Team A atau Team B di dalam UMNO, maka tindakan seperti itu langsung tidak membantu UMNO untuk terus kukuh dan utuh.

“Sebaliknya tindakan seumpama itu hanya akan melemahkan UMNO dan akan mewujudkan persepsi negatif di kalangan rakyat dan juga ahli parti seolah-olah UMNO kini sedang berpecah dan terbahagi kepada dua kumpulan,” tegasnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment